Monday, July 23, 2012

Seminar Peningkatan Sosio Ekonomi Masyarakat Nelayan Parlimen P.178 Sipitang

CERIA…Sapawi dan Masood merakamkan kenangan bersama warga nelayan yang menyertai seminar tersebut.
TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Pengurus Besar Ko-Nelayan Datuk Masood Salleh (kanan) menyampaikan geran bantuan 1 Azam kepada Ramisa Tukal.
INDAH…Permandangan jeti dan restoran di Weston Wetland Park.

BEAUFORT: Rakyat termasuklah golongan nelayan tidak akan dapat menikmati bantuan atau hadiah daripada kerajaan jika ekonomi negara tidak berada dalam keadaan yang baik.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat amat jelas membuktikan bahawa ekonomi negara ini berada pada paras yang terbaik.

“Ekonomi negara bukan seperti yang didakwa oleh pembangkang...rakyat menikmati bantuan daripada kerajaan kerana ekonomi negara berada pada paras yang terbaik,” katanya ketika menyampaikan ceramah motivasi pada seminar peningkatan sosio ekonomi masyarakat nelayan di Weston Wetland Park dekat sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pengurus Besar Ko-Nelayan Datuk Masood Salleh, Penolong Pengurus besar (Operasi komersil) Salleh Obang, Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Sipitang Matbali Musah dan Ajk Pemuda Sipitang Zulhaimi Asbi

Sapawi berkata rakyat termasuklah golongan nelayan wajar bersyukur kerana memiliki barisan kepimpinan yang bijak.

Katanya barisan kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada peringkat nasional dan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman pada peringkat negeri sentiasa berusaha dan memberi komitmen tinggi untuk rakyat.

“Kita memiliki pemimpin yang mempunyai visi, ingin melihat transfomasi dalam semua aspek dan ini termasuklah transfomasi untuk golongan nelayan...hakikatnya transfomasi untuk rakyat secara menyeluruh,” katanya dan menambah banyak peluang telah diwujudkan menerusi transfomasi tersebut.

Menurutnya peluang tersebut termasuklah untuk golongan nelayan sendiri dalam industri perikanan dan juga eko-akua pelancongan.

Beliau berkata golongan nelayan harus tidak merasa tersisih kerana bantuan yang diberikan oleh kerajaan tidak dinikmati oleh golongan nelayan di negara lain.

“Mana ada nelayan di negara lain menikmati elaun sara hidup dan bantuan subsidi minyak...hanya di negara ini bantuan seumpama ini diberikan kepada golongan nelayan.

“Bantuan yang diberikan oleh kerajaan adalah kerana BN menghargai golongan nelayan yang turut memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya lagi.

Menurutnya selain memberikan bantuan seumpama itu, pelbagai kemudahan infrastruktur turut disediakan oleh kerajaan.

Katanya ia termasuklah jeti untuk pendaratan ikan yang merupakan hasil tangkapan golongan nelayan.

“Semua yang diberikan oleh BN sudah cukup membuktikan bahawa segala apa yang didakwa oleh pembangkang adalah pembohongan dan fitnah...usah terpedaya dengan pembangkang,” katanya lagi.


Share |