Thursday, September 20, 2012

Esplande Sipitang dibanjiri oleh lebih 10,000 orang

 SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan Kamarlin menyampaikan sumbangan kepada balu anggota tentera di majlis tersebut.
 CERIA…Wanita dan Pemuda Umno Sipitang sedang menyanyikan lagu-lagu patriotik di majlis tersebut.
 GAGAH…Persatuan Bekas Tentera Parlimen Sipitang sedang berarak membawa Jalur Gemilang penuh semangat sempena Hari Kemerdekaan Sipitang.

   SOKONGAN…Sebahagian lebih 600 penunggang motosikal yang menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan Sipitang.
 SEMANGAT PATRIOTISME…Sebahagian ribuan peserta kontinjen yang menyertai perbarisan sempena Hari Kemerdekaan peringkat daerah Sipitang di padang Esplanade Sipitang.

SIPITANG: Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat daerah di sini ternyata memperlihatkan kehebatan persefahaman dan perpaduan antara kaum.
            Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad menyifatkan kehebatan persefahaman dan perpaduan antara kaum itu telah menjayakan perancangan serta perencanaan ke arah memaju dan membangunkan Sipitang.
            "Saya berbangga dengan perpaduan dan persefahaman antara kaum yang diperlihatkan dan ia turut menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam menyambut Hari Kemerdekaan," katanya pada sambutan tersebut di Esplande Sipitang di sini kelmarin.
            Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Sindumin Ahmad Bujang, Adun Lumadan Kamarlin Ombi, Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat dan Ketua Daerah Sipitang Arif Ismail serta Ketua-Ketua Jabatan negeri dan  persekutuan.
            Sapawi berkata meskipun berbeza anutan agama dan kaum, namun semangat yang mengutamakan persefahaman dan perpaduan itu, membolehkan semua rakyat bersatu dalam mempertahankan kemerdekaan.
            Bagaimanapun Sapawi mengingatkan semangat seumpama itu bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi ianya harus disematkan kepada generasi muda.
            Menurutnya ia penting kerana terdapat pihak-pihak tertentu terutamanya pembangkang yang cuba melaga-laga kaum di negara ini seperti membangkitkan isu-isu perkauman.
            "Jangan kita ambil sikap mudah perkara ini dan kita perlu mengambil sikap berhati-hati dan memastikan perpaduan serta perpaduan antara kaum tidak terjejas.
            "Kita pertahankan kemerdekaan dengan rakyat pelbagai kaum bersatu padu mempertahankannya kerana kemerdekaan amat bernilai dan begitu berharga kepada kita sebagai rakyat Malaysia," katanya dan menambah rakyat tidak perlu merasa ragu-ragu untuk menolak pembangkang yang cuba memecahbelahkan rakyat.
            Katanya jika rakyat bertelagah sesama sendiri sudah tentu kemerdekaan negara akan terjejas kerana perpecahaan rakyat melemahkan negara.
            Beliau memberitahu adalah bijak buat rakyat untuk mengekalkan kerajaan yang ada ketika ini iaitu Kerajaan Barisan Nasional kerana hanya BN sahaja yang akan dan tetap memastikan persefahaman dan perpaduan antara kaum terus kukuh.
            "BN tidak akan berubah dan akan memastikan perpaduan serta persefahaman rakyat akan terus kukuh dan kekal berpanjangan," katanya lagi.
            Sambutan Hari Kemerdekaan Sipitang melibatkan 54 kontinjen dengan penyertaan lebih 3,000 orang peserta dan diceriakan dengan lebih 600 penunggang motosikal daripada Sindumin dan Lumadan yang membawa Jalur Gemilang ke majlis tersebut.
            Esplande Sipitang dibanjiri oleh lebih 10,000 orang
Share |