Monday, September 10, 2012

Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Warga Parlimen Sipitang Di Kota Kinabalu Pada 8 September Ini.

MANTAP…Sapawi merakamkan kenangan bersama barisan AJK Pelaksana Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Warga Parlimen sejurus mesyuarat tersebut.

KOTA KINABALU: Penduduk yang berasal dari Parlimen Sipitang yang tidak bersempatan untuk pulang tetap berpeluang bagi meraikan sambutan Aidilfitri dengan Ahli Parlimen Sipitang dan barisan kepimpinan Umno/BN Sipitang.

Majlis ramah mesra Aidilfitri warga Parlimen Sipitang dan Umno/BN Sipitang Bagi Dewan Undangan Negeri Lumadan dan Sindumin bakal diadakan hujung minggu ini, pada 8 September (Sabtu) ini di Kompleks Belia dan Sukan, Kampung Pasir Putih di Putatan dekat sini.

"Kita turut mahu meraikan Aidilfitri dengan penduduk Sipitang yang berada di sini mahupun di daerah lain yang tidak berkesempatan untuk pulang kerana masalah cuti atau sebagainya...kita berharap kehadiran itu nanti akan memperkukuhkan lagi hubungan silaturrahim yang sedia ada," kata Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad ketika selepas mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa pelaksana di sini kelmarin.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut termasuklah Timbalan Pengerusi Sidek Awang Adi dan Setiausaha Pelaksana Zulhaimi Asbi serta AJK Pelaksana terdiri daripada Abdul Mumin Mohamad, Abdul Rahim Yacob, Zalihah Baha, Mazlan Wahab, Matbali Musah, Alip Tauji, Mohd Hanafi Datuk Semion, Sahadun Urus, Mohd Suffian Datuk Semion, Jusli Olim, Malan Olim dan Jaili Maliki dan Dzul Mohd Kassim.

Sapawi yang juga Pengerusi Penganjur berkata majlis anjuran Parlimen Sipitang itu bertemakan `Merdekaraya Untuk Semua' di mana orang ramai turut dipelawa untuk memeriahkan majlis tersebut.

"Kehadiran mereka sudah tentu dapat mencerikan lagi majlis tersebut tetapi tujuan kami ialah memperkukuhkan silaturrahim yang sedia ada." katanya dan menambah, Parlimen Sipitang dan Umno/BN Sipitang juga telah membuat majlis yang serupa di Sipitang serta di Lumadan.

Majlis rumah terbuka di Putatan itu bermula dari jam 10 pagi hingga 2 petang dan pengunjung bertuah akan menerima hadiah Ipad, Samsung Galaxy Tab serta alat telekomunikasi dan barangan elektrik.



Share |