Monday, September 10, 2012

Merdekaraya SK Padas Damit, Beaufort.

ANAK MERDEKA…Semangat patriotik yang ditunjukkan oleh murid sekolah ketika menyanyi lagu merdeka.
CERIA…Sebahagian penduduk setempat yang menghadiri majlis tersebut.
SERAH…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin dan Asmat menyampaikan wang zakat kepada salah seorang murid di majlis tersebut.

DIHARGAI….Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin dan Asmat menyampaikan cenderakenangan kepada Cikgu Dayang Noor Aidah Abdul Momin yang akan berpindah ke sekolah lain di majlis tersebut.

SIPITANG: Semangat patriotik perlu didekatkan kepada generasi muda sejak mereka berada pada zaman kanak-kanak lagi.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata kanak-kanak pada zaman ini tidak lagi perlu didekatkan dengan hanya mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata.

Sebaliknya, katanya, kanak-kanak pada hari ini perlu ditanamkan dengan semangat patriotik yang tinggi dan jitu.

“Kita perlu melakukan transfomasi...pendekatan inilah yang perlu dilaksanakan kerana kita mahu agar generasi muda tahu betapa payahnya negara ini untuk mencapai kemerdekaan.

“Meskipun kemerdekaan negara ini tidak mencetuskan pertumpahan darah tetapi ia memperlihatkan kebijaksanaan barisan kepimpinan terdahulu,” katanya pada majlis Merdeka Raya dan Rumah Terbuka Aidilfitri Sekolah Kebangsaan Padas Damit dekat sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan kamarlin Ombi, Ketua Daerah Sipitang Junli Yusuf, Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang Matbali Musah dan Guru Besar S.K Padas damit Asmat Mutara dan Ketua PBS Lumadan Ruslan Muharam.

Sapawi berkata dalam mempertahankan negara ini pula, para pejuangan terdahulu melakukan banyak pengorbanan.

Katanya pengorbanan yang mereka lakukan adalah untuk memastikan generasi kini dan akan datang dapat menjalani kehidupan di sebuah negara yang merdeka dan tidak lagi dijajah.

Menurutnya para pejuang negara melakukan pengorbanan tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Bagaimanapun Sapawi berkata, agak mengecewakan kerana pihak yang sanggup merendah-merendahkan pengorbanan yang telah mereka lakukan.

“Kita perlu ingat tanpa adanya kebijaksanaan barisan kepimpinan dan tanpa adanya pengorbanan para pejuang, negara tidak mungkin akan merdeka dan kita yang ada pada hari ini tidak mungkin menikmati kemakmuran serta keharmonian,” katanya lagi.

Beliau menegaskan transformasi sikap dan pendekatan perlu dilakukan kerana kemerdekaan negara bukan hanya perlu dipertahankan pada hari ini tetapi juga pada masa akan datang.

Katanya kesilapan yang dilakukan pada hari ini bakal memberi kesan yang berpanjangan dan akan turut dirasai oleh generasi akan datang.

“Kepayahan untuk mencapai kemerdekaan perlu diingati dan kita yang telah menikmati kemerdekaan pula perlu mempertahankan kemerdekaan...sesiapa sahaja yang cuba untuk menggugat kemerdekaan itu perlu dihalang,” katanya lagi.


Share |