Monday, November 19, 2012

Majlis Konvokesyen Pra Sekolah Sipitang.

  MODAL INSAN…Sebahagian pelajar bersama ibubapa yang mengahdiri majlis konvokesyen pra sekolah peringakat daerah Sipitang.
 SEMBOLIK…Sapawi diperhatikan oleh Latip dan Abdul Razak melakukan acara gimik sempena majlis tersebut.
  CERIA....Sapawi sedang bertanya sesuatu kepada Latip ketika menghadiri majlis tersebut.
 BAKAT TERPENDAM…Persembahan koir khas pelajar pra sekolah Sipitang di majlis tersebut.


 TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Latip dan Abdul Razak menyampaikan hadiah dan sijil kepada Afidah Binti Aznie pelajar pra sekolah cemerlang SK Padang Berampah Sipitang.

SIPITANG: Tanamkan sikap cemburu positif kepada anak sendiri untuk berjaya dalam pelajaran.
                Nasihat itu dilontarkan oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi  Ahmad kepada ibu bapa yang hadir pada Konvokesyen Prasekolah peringkat daerah Sipitang di sini kelmarin.
                Katanya cemburu positif bermaksud cemburu dengan kejayaan anak orang lain dalam pelajaran dan berusaha memberikan didikan terbaik kepada anak-anak sendiri agar turut cemerlang.
                “Cemburu positif ini boleh diibaratkan sebagai motivasi kita kepada anak-anak agar mereka turut berusaha untuk mencatatkan kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya lagi.
                Seramai 315 pelajar pra sekolah mendapat sijil yang turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat dan Pegawai Pelajaran Daerah Sipitang Abdul Razak Bin Abdul Karim.
                Sapawi berkata ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak berjaya dalam pelajaran dan ia bukan hanya menjadi tanggungjawab kepada pihak guru.
                Katanya ibu bapa tidak harus bersandarkan kepada guru bagi memberikan didikan dan bimbingan sebaliknya turut melaksanakan tanggungjawab yang sama agar anak-anak memiliki semangat dan keazaman bagi cemerlang dalam pendidikan.
                “Kita wajar menyemai semangat cintakan pelajaran dan mahu cemerlang kepada anak-anak sebelum mereka melangkah kaki ke sekolah lagi dan ini bermakna ia harus bermula daripada rumah,” katanya dan menambah di sekolah, guru-guru hanya berperanan sebagai pelengkap kepada usaha menyemaikan cintakan pelajaran.
                Beliau memberitahu masa depan anak-anak akan lebih terjamin sekiranya mereka berjaya dalam pelajaran.
                Katanya kemajuan yang dicapai ketika ini telah menyaksikan pembangunan pendidikan turut berkembang dengan pesat.
                “Melihat keadaan itu, kerajaan sentiasa berusaha mempertingkatkan pembangunan pendidikan di negara ini agar ianya tidak ketinggalan,” katanya lagi.
                Bagaimanapun beliau berkata usaha yang dilakukan oleh kerajaan sudah tentu tidak berbaloi jika rakyat masih bersikap sambil lewa terhadap pencapaian pendidikan anak-anak.
                Katanya kemudahan prasarana pendidikan yang disediakan oleh kerajaan sentiasa dipertingkatkan dan semua ini dilakukan untuk rakyat.
                “Semai semangat cintakan pelajaran dalam diri anak-anak agar kemudahan prasarana pendidikan di negara ini dapat dipergunakan sepenuhnya,” katanya lagi.





Share |