Sunday, November 4, 2012

Program Kesedaran Keselamatan Awan Sipitang Bersama Bomba Di Long Pasia, Sipitang.

 SOKONGAN PADU…Sebahagian pegawai kanan Bomba dan penduduk setempat yang menghadiri majlis tersebut.
 TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Nordin dan Latip (kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang utama acara di majlis tersebut.
 PRIHATIN…Sapawi menyampaikan sumbangan kepada warga emas sempena majlis tersebut.
 DIHARGAI…Sapawi menerima cenderakenangan daripada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Nordin Pauzi di majlis tersebut.


 MANTAP…Sapawi menyampaikan sijil penubuhan Bomba Sukarela kepada Lucas Usin selakus pengerusi bagi Long Pasia.

SIPITANG: Bukan hanya boleh menyebabkan kerugian besar tetapi ianya juga boleh menyebabkan kehilangan nyawa.
                Itulah antara yang diluahkan oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad ketika merasmikan Program Kesedaran Keselamatan Awam di Long Pasia dekat sini kelmarin.
                Sapawi berkata kebakaran boleh mengundang sesuatu yang tidak dijangkakan dan boleh meninggalkan kenangan yang pahit.
                “Amat penting bagi kita melihat kebakaran itu sebagai sesuatu yang harus dielakkan dan caranya ialah kepekaan dan keprihatinan kita,” katanya.
                Beliau berkata kepekaan dan keprihatinan itu termasuklah meletakkan bahawa kebakaran sebagai sesuatu yang amat berbahaya dan ianya harus dielakkan.
                Bagaimanapun Sapawi berkata sememangnya ramai yang tahu akan bahaya kebakaran tetapi sikap tidak memperdulikan dan sikap tidak kisah tidak sepatutnya diamalkan.
                “Kadang-kala akibat sikap tidak peduli dan tidak kisah, ianya menyebabkan kita lalai sedangkan apa yang kita lakukan sebenarnya mendedahkan kita kepada bahaya tersebut,” katanya dan menambah kerana itu adalah penting bagi setiap individu melihatkan kebakaran sebagai perkara yang harus ditangani dan dielakkan.
                Menurutnya sikap bertanggungjawab hadir apabila seseorang itu peka dan prihatin terhadap perkara tersebut.
                Kerugian yang dialami, katanya bukan hanya melibatkan mangsa yang terlibat tetapi turut member kesan kepada pembangunan negara.
                Justeru itu Sapawi memberitahu program kesedaran tersebut merupakan langkah yang terbaik ke arah mewujudkan sikap peka dan prihatin kepada orang awam untuk turut sama bertanggungjawab.
                Menurutnya ramai yang masih menganggap program seumpama itu sebagai program yang tidak begitu penting dan hanya merugikan atau membuang masa.
                “Program ini banyak memberikan manfaat dan ia juga merupakan penambahan ilmu yang ada kepada kita,” katanya lagi.
                Sambil mengucapkan tahniah kepada penganjur, Sapawi melahirkan harapan agar program seumpama itu bukan hanya diadakan pada masa akan datang tetapi skopnya akan diperluaskan lagi.
Pelbagai acara diadakan sempena program tersebut antaranya, pertandingan mewarna Kelab 3K (Kelab Keselamatan Kanak-Kanak), pertandingan sukan kebombaan, kuiz kebombaan, dan penubuhan pasukan bomba sukarela Long Pasia.
Program itu melibatkan penyertaan kanak-kanak tadika, murid sekolah rendah, golongan belia, agensi kerajaan dan penduduk setempat
                Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah (JPBS), Nordin Pauzi, Timbalan Pengarah JBPS, Zuraidah Latif, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin, Ahmad Bujang, Pegawai Daerah Sipitang, Latip Amat, Ketua Kampung Long Pasia, Mudin Sia dan Ketua Kampung Long Mio, Murang Padan.



Share |