Saturday, February 9, 2013

Maulidur Rasul Peringkat Pekan Weston, Beaufort.


 SELAWAT KEATAS NABI…Sapawi bersama penduduk islam setempat berarak dan berselawat  dititian jambatan simen yang baru pekan Weston yang bernilai lebih RM4 juta melalui peruntukan kerajaan negeri sempena sambutan maulidur rasul pekan Weston.
 MANTAP…Sapawi merakamkan kenangan bersama peserta yang mengikut perarakan maulidur rasul di pekan Weston.
 CERIA…Sapawi menyampaikan cenderakenangan kepada hakim-hakim yang bertugas di majlis tersebut.



DIHARGAI…Sapawi menerima cenderakenangan daripada Pengerusi Masjid Pekan Sipitang Awang Ahmad Pengiran Daud di majlis tersebut.

WESTON: Umat Islam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan segelintir pihak yang mahu mencetuskan perpecahan ummah.
            Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata pihak tersebut tanpa rasa segan dan tanpa rasa hormat telah melontar pelbagai isu sensitif yang mampu mencetuskan pertelagahan di kalangan umat Islam.
            Beliau berkata pihak tersebut mempunyi agenda tersembunyi dan sememangnya mahu agar umat Islam berpecah.
            “Kita sedih dengan perkara ini dan lebih menyedihkan ada juga di kalangan umat Islam yang tampil menyokong tindakan pihak tersebut,” katanya pada sambutan Maulidur Rasul peringkat pekan Wesron di sini kelmarin.
            Menurutnya umat Islam harus kembali kepada landasan yang sebenar dan sentiasa memastikan akidah mereka tidak terpesong.
            Katanya ketika ini umat Islam dilontarkan dengan isu Kalimah Allah oleh pihak tertentu.
            “Isu jika tidak ditangani dengan bijak boleh mencetuskan perbalahan tetapi rakyat wajar bersyukur kerana memiliki Kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa memastikan perpaduan dan persefahaman rakyat bukan sahaja dikekalkan tetapi dipertingkatkan.
            “BN akan memastikan rasa hormat-menghormati antara rakyat akan kekal dan tidak cuba digangguguat oleh mana-mana pihak,” katanya lagi.
            Sapawi juga memberitahu amat menyedihkan apabila segelintir umat Islam tanpa rasa segan menyokong tindakan pihak terbabit dan menjadikannya sebagai sumber politik diri sendiri.
            Katanya pihak tersebut juga bertindak mempengaruhi umat Islam untuk menyokong tindakan tersebut.
            “Bukan hanya isu itu tetapi sebelum ini pun umat Islam telah dihidangkan dengan isu LBGT yang amat ditegah oleh agama,” katanya lagi,
            Beliau memberitahu bukan hanya Kerajaan BN yang harus menangani isu tersebut tetapi umat Islam juga harus memainkan peranan.
            Katanya peranan umat Islam ialah memastikan perpaduan dan persefahaman di kalangan rakyat terus kukuh dan mantap.
            Menurutnya umat Islam juga harus memperlihatkan kesatuan sesama sendiri agar dapat menangani apa juga cabaran yang mendatang.
            “Usah terpengaruh dengan pihak yang cuba memesong akidah kita dan kita harus menolak apa juga tindakan atau usaha pihak tersebut untuk memecahbelahkan serta memusnahkan perpaduan dan juga persefahaman rakyat,” katanya lagi.
            Beliau berkata sambutan maulidur rasul yang diadakan saban tahun wajar mencetuskan keinginan kepada umat Islam untuk mencpai sesuatu yang lebih terbaik daripada yang baik.
            Katanya jadikan sambutan itu untuk membuat penilaian diri dan juga kekuatan akidah selain memperkukuhkan kesatuan yang sedia ada.
            “Umat Islam wajar menyelami kepribadian Rasulullah dan terus menjadikan al-Quran dan hadis sebagai panduan untuk mencapai kejayaan serta kecemerlangan,” katanya lagi.
                Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pengerusi Masjid Pekan Weston Awang Ahmad Pengiran Daud, Iman Daerah Beaufort Mohd Jalin Sarmali, Pegawai Ekskuatif Koperasi Pembangunan Desa Awang Liman Yusuf, Pegawai Perhutanan Sipitang Mahummad Bakar, Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang Matbali Musah dan Ketua Anak Negeri Lumadan Bungsu Yusuf.




Share |