Saturday, February 9, 2013

Penyerahan Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai Kepada Persatuan Nelayan Teluk Padas.


 PRIHATIN…Sapawi diperhatikan oleh wakil Pengarah LKIM Sabah Alay Yallong menyampaikan bantuan elaun sara hidup nelayan kepada salah seorang nelayan teluk padas di majlis tersebut.


SIPITANG: Rakyat tidak mungkin akan dapat menikmati bantuan seperti apa yang telah dinikmati ketika ini sekiranya memilih untuk mengalihkan sokongan.
            Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional dari dahulu sehingga kini tidak akan mampu disaingi oleh mana-mana termasuklah pembangkang.
            Malah, katanya, apa yang dilakukan oleh BN untuk rakyat negara ini turut tidak mampu diikuti atau disaingi oleh mana-mana kerajaan di negara lain.
            Menurutnya pelbagai bantuan dan kemudahan untuk rakyat telah dilaksanakan dan sentiasa diusahakan serta dipertingkatkan dari masa ke semasa.
            "Bantuan seperti elaun sara hidup nelayan dan bantuan khas awal persekolahan, BR1M dan sebagainya adalah untuk membantu rakyat dan ia tidak termasuklah bantuan penyediaan kemudahan perumahan dan pembaikan rumah.
"Semua ini adalah untuk rakyat kerana perjuangan BN adalah perjuangan untuk rakyat dan bukannya untuk kepentingan diri atau kepentingan seseorang," katanya ketika merasmikan majlis penyerahan bantuan elaun sara hidup nelayan kepada persatuan nelayan teluk padas secara tunai di sini kelmarin.
            Beliau memberitahu bantuan seumpama itu pastinya akan diteruskan sekiranya rakyat terus mengekalkan BN sebagai kerajaan pada pilihan raya akan datang.
            Menurutnya perkara itu telah dinyatakan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan bahawa BR1M akan diteruskan jika rakyat mengekalkan BN sebagai kerajaan.
            "BN bukan pembohong dan rakyat sendiri dapat melihat apa yang telah dilakukan oleh BN dan telahpun menikmati apa yang telah diusahakan...perjuangan BN untuk rakyat tidak akan beralih kedudukannya, ia tetap paling utama," katanya lagi.
            Sapawi memberitahu bantuan sara hidup untuk golongan nelayan merupakan salah satu usaha BN untuk membantu meningkatkan taraf hidup golongan tersebut.
            Katanya bantuan yang diberikan itu adalah juga bukti bahawa BN amat prihatin dengan apa yang melanda rakyat khususnya golongan nelayan.
            "Daripada sara hidup, pembaikkan rumah, BN juga memberikan subsidi minyak untuk golongan nelayan...apa yang diberikan dan dirasai oleh golongan nelayan negara ini tidak pernah dinikmati oleh mana-mana nelayan di negara lain," katanya lagi.
            Beliau berkata semua bantuan itu dipastikan dapat dinikmati tanpa ada yang tercicir dan bantuan seumpama itu bukan sahaja akan diteruskan tetapi tidak mustahil akan dipertingkatkan.
            "Semua ini boleh dilakukan jika rakyat mengekalkan BN untuk terus menerajui kerajaan dan BN sememangnya terbaik untuk rakyat," katanya lagi.
            Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Wakil Pengarah LKIM Alay Yallong, Wakil LKIM dari Kuala Lumpur Abdul Majid, Wakil Jabatan Perikanan Sipitang Layip Abbas dan Pengerusi Persatuan Nelayan Teluk Padas Masri Latip.


Share |