Saturday, February 9, 2013

Markas Daerah Mengundi BN Zon Pantai Satu, Sipitang.


 SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Surinam dan Jaini menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di majlis tersebut.



SIPITANG: `Siapa juga yang telah dipilih oleh pucuk pimpinan sebagai calon pada pilihan raya hendaklah diterima dan diberikan sokongan.'
            Nasihat itu dilontarkan oleh Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad ketika melancarkan markas daerah mengundi Pantai Satu dekat sini kelmarin.
            Sapawi berkata anggota parti tidak harus mempertikaikan keputusan parti dan sebaliknya terus memberikan sokongan kepada calon itu bagi memastikan Barisan Nasional mencapai kemenangan.
            "Kita perlu jujur dan ikhlas dalam melaksanakan perjuangan parti yang diamanahkan...siapa sahaja yang dipilih bukan sahaja perlu diterima tetapi kita harus memberikan sokongan dan bekerjasama bagi memastikan calon itu menang.
            "Apa yang penting dan harus tersemat dalam hati kita ialah BN mencapai kemenangan," katanya dan menambah calon yang terpilih itu sudah tentu yang terbaik dan dapat diterima oleh rakyat.
            Menurutnya BN bukan seperti pembangkang yang bukan sahaja membohongi rakyat dengan menabur pelbagai fitnah tetapi juga di kalangan anggotanya.
            Beliau berkata cara pembangkang amat berbeza dengan BN yang lebih mengutamakan rakyat berbanding kepentingan diri atau kepentingan seseorang.
            "Perjuangan kita adalah perjuangan untuk rakyat...bukan untuk diri sendiri ataupun individu tertentu," katanya lagi.
            Dalam pada itu Sapawi melahirkan keyakinan bahawa Sipitang masih menjadi kubu kuat kepada BN dan akan turut menjadi penyumbang utama kepada kemenangan BN pada pilihan raya akan datang.
            Menurutnya BN akan tetap menang dua pertiga di Patlimen berdasarkan kepada prestasi dan khidmat yang diberikan kepada rakyat.
            Beliau berkata rakyat tidak akan mudah terpengaruh dengan pembohongan pembangkang dan akan terus mengekalkan sokongan kepada BN kerana apa yang dinikmati oleh rakyat sejak dahulu sehingga sekarang adalah usaha berterusan BN.
            "Rakyat bukan bodoh sebaliknya rakyat amat bijaksana dan akan membuat penilaian serta penelitian sebelum membuat sebarang keputusan," katanya lagi.
            Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun, Ketua Daerah Mengundi Zon Pantai Jaini Puasa, Ketua Daerah Mengundi Zon Pantai Dua James Sago, Ketua Daerah Mengundi Ulu Sipitang Daim Bakar dan Ketua Daerah Mengundi Banting Chemat Latip.

    
Share |