Saturday, February 9, 2013

Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 Bagi S.K Ulu Bole dan Meligan.

  SERAH…Sapawi diperhatikan oleh Jamilah dan Semion menyampaikan bantuan khas awal persekolahan kepada salah seorang bapa pelajar S.K Meligan di majlis tersebut.
  PRIHATIN…Sapawi diperhatikan oleh Jamilah menyampaikan sumbangan kerusi dan Kipas Angin kepada Ketua Anak negeri Sarudin Tuan bagi kegunaan rumah kebudayaan Kg Meligan di majlis tersebut.
 CERIA…Sapawi bersama rombongan dan ibubapa yang menghadiri majlis di S.K Ulu Bole, Sipitang.
 SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Razak dan Samrah menyampaikan sumbangan lampu kepada salah seorang ibubapa pelajar di majlis tersebut.


  IKHLAS…Sapawi menyampaikan bantuan khas awal persekolahan RM100 kepada salah seorang pelajar di majlis tersebut.

SIPITANG; Pembangunan dan kemajuan pendidikan di luar bandar tidak pernah diabaikan dan dipinggirkan oleh Kerajaan Barisan Nasional.
            Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata dakwaan yang mengatakan bahawa hanya sekolah di kawasan bandar dan pekan sahaja diberikan perhatian adalah dakwaan yang klise.
            "Ia adalah dakwaan yang sudah dilagukan sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu...dakwaan yang bukan sahaja untuk mengelirukan rakyat tetapi juga klise," katanya pada majlis ambutan anugerah kecemerlangan dan penyampian bantuan khas awal persekolahan Sekolah Kebangsaan Ulu Bole dan Sekolah Meligan dekat sini kelmarin.
            Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Ketua Wanita PBS Sabah Senator Datuk jamilah Sulaiman, Pegawai Pelalajran Sipitang Abdul Razak Abdul Karim, Guru Besar S.K Ulu Bole Samrah Awang Damit, Guru Besar S.K Meligan Semion Sakai serta Ketua Anak Negeri Sarudin Tuan dan James Sago.
            Sapawi memberitahu BN sentiasa berusaha memastikan pembangunan dan kemajuan pendidikan di luar bandar dipertingkat dan seimbang dengan pembangunan serta kemajuan pendidikan di kawasan bandar.
            Malahan, katanya, kemudahan prasarana yang disediakan di sekolah di kawasan luar bandar kadang-kala melebihi apa yang diperolehi di kawasan bandar.
            "Semua ini dilakukan oleh BN sebagai usaha merapatkan jurang pencapaian pendidikan dan BN sendiri sejak dahulu sehingga sekarang tetap meletakkan pendidikan sebagai agenda utama.
            "Kita mahu semua generasi negara ini dapat menikmati pendidikan seterusnya berjaya mencapai pendidikan yang terbaik," katanya dan menambah dengan adanya pendidikan, sudah tentu generasi muda dan masa depan tidak akan dipergunakan serta diperbodohkan oleh pihak tertentu terutamanya pembangkang.
            Bagaimanapun Sapawi menegaskan usaha yang dilakukan oleh BN perlu mendapat sokongan daripada semua pihak termasuklah ibu bapa.
            Katanya sokongan yang diharapkan oleh BN ialah ibu bapa memastikan anak-anak mereka tidak mengsia-siakan segala peluang pendidikan yang diadakan.
            "Usah biarkan anak-anak kita ketinggalan, tidak berpeluang dan tercicir daripada menikmati pendidikan," katanya dan menambah ibu bapa harus membuang sikap tidak kisah atau tidak peduli berhubung dengan pendidikan anak-anak.
            Menurutnya apa yang disediakan oleh kerajaan perlulah dipergunakan dan tidak dipersia-siakan dan dibiarkan begitu sahaja.
            Mengenai bantuan khas itu, Sapawi menegaskan bantuan itu adalah bukti terbaik kepada rakyat untuk melihat keikhlasan yang dilakukan oleh BN.
            Beliau berkata bantuan khas awal persekolahan itu juga bukan kerana pilihan raya semakin hampir tetapi ia adalah keikhlasan BN dalam membantu meringgankan bebanan rakyat.
            Katanya selain bantuan khas awal persekolahan, pelbagai bantuan lagi disediakan oleh BN termasuklah menyediakan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin bagi pelahar yang layak.
            "Semua ini adalah keikhlasan BN kepada rakyat dan semua ini sudah cukup menjelaskan bahawa perjuangan BN adalah perjuangan untuk rakyat dan bukannya berjuang untuk memenuhi keinginan serta cita-cita seseorang," katanya lagi.
            Ahli Parlimen Sipitang itu juga berkata rakyat sendiri boleh melihat kemudahan yang diberikan kepada SK Ulu Bole dan juga SK Meligan.
            Katanya BN telah menyediakan kemudahan elektrik asas seperti sistem solar hibrid yang bernilai RM3 juta untuk SK Ulu Bole dan SK Meligan yang juga memperolehi kemudahan yang sama.
            "Ini juga tanda kasih sayang BN kepada rakyat tanpa mengira anutan agama mahupun kaum," katanya lagi.

a)

Share |