Sunday, August 16, 2015

Perasmian Mesyuarat Pergerakan Wanita Umno Sipitang

  DIHARGAI…Sapawi menerima cenderakenangan daripada Surinam sejurus merasmikan mesyuarat tersebut.
 MANTAP…Sapawi dan Surinam merakamkan kenangan bersama barisan AJK anita Umno Sipitang yang hadir di majlis tersebut.


SOKONGAN PADU….Sebahagian perwakilan wanita Umno Sipitang yang menghadiri mesyuarat tersebut.

 SIPITANG: Anggota parti perlu mengawal emosi agar mereka tidak terperangkap dengan pelbagai isu yang disebarluaskan oleh pihak tertentu.
     Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata pelbagai isu yang lebih dikuasai dengan pembohongan telah disebarluaskan menerusi pelbagai cara termasuklah media sosial.
     Beliau berkata lebih 80 peratus media sosial menguasai rakyat di mana rakyat menggunakan media sosial seperti blog dan facebook untuk mendapatkan maklumat termasuklah mengenai sesuatu isu.
     "Rakyat mudah mempercayai apa yang disalurkan menerusi media sosial itu meskipun seringkali diingatkan agar tidak mudah mempercayai apabila yang diperolehi menerusi media sosial itu, malah rakyat juga mengetahui bahawa fakta dalam media sosial itu yang disebarluaskan mungkin sahaja dibuat-buat ataupun ditokoktambah dan juga kesahihannya diragui," katanya pada perasmian mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita Umno Sipitang di sini kelmarin.
    Menurutnya berdasarkan itu, ia telah melahirkan cabaran baharu kepada anggota parti bagi mengajak rakyat untuk mengambil keputusan dan tindakan yang bijaksana.
     Katanya rakyat yang sedar perlu dibawa untuk terus tidak mempercayai apa yang disebarkan dan tidak dibiarkan tanpa diberikan penjelasan.
    "Terdapat segelintir rakyat yang mengharapkan memperolehi maklumat daripada kita sebagai anggota parti tetapi jika kita tidak memberikan maklumat yang mereka harapkan sudah tentu mereka mengambil keputusan untuk mempercayai apa yang disebarluaskan itu...fitnah bagi kita akan dipercayai jika kita hanya berdiam tanpa memberikan penjelasan," katanya lagi.
     Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang memberitahu anggota parti khususnya pada peringkat akar umbi boleh mendapatkan maklumat yang tepat menerusi barisan kepimpinan bahagian serta berusaha mendapatkan maklumat daripada jabatan ataupun agensi kerajaan.
     "Maklumat yang diperolehi itu pula hendaklah segera disampaikan kepada rakyat dan tidak diperam untuk tempoh yang panjang...kita perlu bertindak pantas kerana kita tidak mahu rakyat dipergunakan dan dikelirukan," katanya lagi.
    Dalam pada itu Sapawi melahirkan harapan agar anggota parti termasuklah wanita meneruskan perjuangan parti dengan penuh keikhlasan.
    Beliau berkata keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan akan memberikan keyakinan kepada rakyat.
    "Kita mahu Umno terus relevan di mata rakyat dan kita mahu rakyat tahu bahawa keutamaan perjuangan kita adalah mereka," katanya lagi.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun, Wakil Perhubungan Wanita Umno Negeri merangkap Ketua Wanita Umno Pesiangan Zaiton Anik, Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad, dan penolong Setiausaha Wanita Umno Sipitang Dayang Surinah Karim serta seramai  1,105 perwakilan daripada 217 cawangan yang hadir.


Share |