Monday, August 3, 2015

Yayasan Sabah Bersama Penduduk Di Kg. Sinaron, Sook, Keningau.

 SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Rosmawati menyerahkan sumbangan sosial Kumpulan Yayasan Sabah sebuah mesin rumput kepada Pengerusi PDCB  Kg. Sinaron Sook Rojef Ramsing
 BAKAT…Sapawi sedang menganyam tikar bersama peserta-peserta kraftangan dibawah kelolaan Yayasan Sabah di Kg. Batu Lunguyan Sook
 DIHARGAI…Sapawi diperhatikan oleh Rosmawati dan Teo menerima cenderakenangan daripada Emily Jeneble yang pernah mendapat pengiktrafan di Milan, Itali.
 SUBUR….Sapawi sedang menanam pokok tanda sembolik perasmian program PDCB Kg. Kg. Sinaron Sook


MESRA….Sapawi diringi oleh Rosmawati bersalaman bersama sebahagian penduduk setempat sejurus hadir di majlis tersebut.

 KININGAU (Sook): Kumpulan Yayasan Sabah akan terus memainkan peranan bagi membantu kerajaan meningkatkan taraf kehidupan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
     Pengarahnya Datuk Sapawi Ahmad berkata usaha yang dilakukan termasuklah memperkenalkan Program Desa Cemerlang Berinovatif di kampung-kampung di negeri ini.
     Sehingga kini terdapat enam PDCB termasuklah Kampung Sinaron (Sook), Kampung Lormalong (Kunak), Kampung Sebait (Sandakan), Kampung Lambidan (Kuala Penyu), Kampung Singgaron Baru (Ranau) dan Kampung Pandasan di Kota Belud.
            Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pengurus Kumpulan Kanan Yayasan Sabah Sumber Manusia dan Perkhidmatan Koparat Rosmawati Lasuki, Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan sabah Zon Pendalaman  Utara Teo Guan Leck , Pengurus Kumpulan Yayasan Sabah Pusat Kraftangan Sabah Zaitun Bakri dan Ketua-ketua Pentadbir Zon Kumpulan Yayasan Sabah.
     Sapawi berkata PCDB diperkenalkan untuk membantu masyarakat setempat untuk bergerak kehadapan dalam usaha membuat perubahan dari segi meningkatkan tahap sosio ekonomi ke arah masyarakat yang lebih mapan.
     Katanya PDCB dilaksanakan menerusi dua fasa iaitu fasa pertama menumpukan kepada pengembelingan dan perluasan sumber manakala fasa kedua pula menumpukan kepada usaha untuk memenuhi kriteria yang telah digariskan untuk menjadi desa cemerlang dan berinovasi.
     "Fasa pertama bermula pada tahun 2011 hingga 2014 dan bermula pada tahun ini iaitu 2015 hingga 2018 merupakan fasa kedua dan kita berharap sasaran itu akan tercapai," katanya pada lawatan kerjanya ke Kampung Sinaron dekat sini kelmarin.
     Beliau menegaskan bahawa Kumpulan Yayasan Sabah berharap untuk melihat kampung yang terlibat dalam PDCB itu menjadi contoh yang boleh menjadi pemangkin kepada kampung lain dalam memperkasakan kepimpunan desa, meningkatkan tahap pengetahuan dan mempelbagai kemahiran, meningkatkan pendapatan penduduk melalui kegiatann ekonomi dan mengukuhkan perpaduan serta keharmonian masyarakat desa.
     Katanya dengan pencapaian itu kelak ia sudah tentu membantu usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memajukan masyarakat luar bandar.  
     Bagaimanapun dalam menjayakan program itu, Sapawi berkata ia sudah tentunya memerlukan komitmen dari kedua-dua belah pihak iaitu Kumpulan Yayasan Sabah dan masyarakat di kampung di mana program ini dilaksanakan. 
   Menerusi program itu, Kumpulan Yayasan Sabah berperanan sebagai pemangkin, koordinator dan pemudacara dalam usaha untuk membangunkan masyarakat setempat, katanya dan menambah manakala, kepimpinan masyarakat dan anggota masyarakat melalui pengupayaan Jawatankuasa PDCB di peringkat desa berperanan sebagai penggerak, perancang dan pelaksana secara proaktif untuk mewujudkan masyarakat desa yang lebih berdaya saing.
    Katanya komitmen dari kedua-dua belah pihak, pada akhirnya tanpa mengira latar belakang kepercayaan agama dan suku-kaum, maka semua lapisan masyarakat desa akan mendapat manafaat daripada program yang menyeluruh dan seimbang dalam setiap aspek kehidupan khususnya dari segi kepimpinan, pembangunan ekonomi, pendidikan dan sosio budaya.
    Sememangnya pelaksanan program-program PDCB memerlukan strategi-strategi tertentu agar dapat mencapai objektif yang diingini, katanya lagi.
   Antara strategi penting itu termasuklah menggunakan sumber-sumber dalaman dengan sebaik-baiknya, bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan NGO, membangunkan sumber setempat dan modal insan dan seterusnya pemantapan dan pengwujudan sumber ekonomi baru.
    Mengenai Kampung Sinaron, Sapawi berkata kedudukan kampung tersebut yang berdekatan dengan Gunung Trus Madi membuka peluang dalam industri pelancongan.
     "Ia membolehkan kita untuk memasarkan produk tempatan seperti kraftangan dan budaya suku kaum," katanya lagi.
    Beliau berkata kekuatan-kekuatan yang dimiliki oleh kampung itu boleh ditransformasikan menjadi sumber ekonomi yang boleh dibangunkan bagi meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat setempat dan semuanya boleh dijayakan dengan usaha yang lebih kreatif dan berinovatif oleh masyarakat kampung ini sendiri.


Share |