Monday, August 3, 2015

Rumah Terbuka Aidilfitri Bersama PETRONAS Chemicals Grop Berhad Di Sipitang

  MERIAH…Sebahagian ribuan orang ramai yang sedang menikmati juadah di majlis rumah terbuka tersebut.
 PRIHATIN…Sapawi bersama wakil Petronas sedang merakamkan kenangan bersama pelajar-pelajar sekolah yang menerima sumbangan beg di majlis tersebut.
 SUMBANGAN…Sapawi diperharikan oleh Kamrin dan Ahmad menyampaikan sumbangan bagi pihak Petronas kepada wakil  pengerusi masjid di majlis tersebut.
  DUIT RAYA…Sapawi  sedang menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir di majlis tersebut.


 RESTU…Sapawi bersama barisan kepimpinan Umno Sipitang sedang mengaminkan doa yang dibacakan oleh Biro Agama Umno Sipitang Ustaz Said Awang Damit di majlis tersebut.

KEHEBATAN dan perkasanya perpaduan serta persefahaman di kalangan
rakyat pelbagai kaum ternyata terserlah sinarnya menerusi amalan
kunjung-mengunjung antara satu sama lain dan ini jelas tergambar pada
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Petronas Chemicals Grop Berhad di dewan
serbaguna Sipitang kelmarin.

Aidilfitri yang merupakan salah satu perayaan utama kepada umat Islam
turut sama diraikan dan dimeriahkan oleh mereka yang bukan beragama
Islam dan situasi itu memperlihatkan keistimewaan yang dimiliki rakyat
negara ini tetapi dianggap unik oleh rakyat di beberapa negara lain.

Hakikatnya suasana sambutan Aidilfitri amat berbeza dengan apa yang
dilalui oleh rakyat di beberapa buah negara namun keistimewaan yang
dimiliki oleh rakyat negara ini harus tidak melahirkan kelekaan.

Terdapat segelintir pihak yang sentiasa berusaha termasuklah
menggunakan media sosial untuk menghapuskan persefahaman dan perpaduan
di kalangan rakyat negara ini dan kelekaan yang lahir membuka peluang
serta ruang terbaik kepada pihak tersebut bagi mencapai matlamat yang
sebenar.

Kebimbangan itulah yang dinyatakan oleh Ketua Umno Sipitang Datuk
Sapawi Ahmad yang mengharapkan kehadiran ramai pada majlis rumah
terbuka itu bukan hanya untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri tetapi
juga untuk mengeratkan dan memesrakan perpaduan serta persefahaman
yang terjalin.

“Kita harus tidak leka dan majlis seumpama ini merupakan ruang serta
peluang terbaik kepada kita bagi memperkukuhkan persefahaman dan
perpaduan yang sedia ada dan kita wajar memastikannya terus berkembang
daripada satu generasi kepada generasi akan datang,” katanya ketika
ditemui pada majlis tersebut.

Sapawi yang juga Ahli Parlimen Sipitang memberitahu persefahaman dan
perpaduan yang terjalin itu telah membolehkan rakyat menikmati
kesejahteraan dan juga keharmonian.

Sambil melahirkan rasa bangga dengan semangat yang diperlihatkan oleh
mereka yang hadir pada majlis tersebut, Sapawi berkata kehebatan dan
perkasanya persefahaman serta perpaduan rakyat itu telah menggamit
perhatian daripada rakyat daripada beberapa buah negara.

Menurutnya terdapat pelancong hadir pada majlis tersebut dan kehadiran
mereka bukan hanya untuk melihat suasana sambutan perayaan Aidilfitri
tetapi juga mahu merasakan kehebatan dan perkasanya perpaduan serta
persefahaman rakyat.

Hadir sama pada majlis rumah terbuka itu
Termasuklah Timbalan Ketua Umno Sipitang Datuk Kamarlin Ombi, Naib Ketua Umno Sipitang Datuk Ahmad Bujang, Ketua Projek Direktorat Petronas Chemicals Grop Datuk M Shah Ali, Pengerusi Petronas Sabah dan Labuan Firouz Asnan, Ketua Pegawai Ekskuatif Petronas Chemicals Fertilizer Sabah Sdn Bhd M. Iskandar Bakeri dan Ketua Perhubungan Korparat dan Pentadbiran Petronas Chemicals GropnRuziah Azdi Abdul Rahman, Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun, Ketua Pemuda Sipitang Yamani Hafez Musa dan Ketua Puteri Sipitang Suzie Hamat

Sapawi juga berkata majlis seumpama itu turut memberikan ruang serta
peluang kepada rakyat untuk meraikan Aidilfitri dengan barisan
kepimpinan termasuklah daripada sektor korporat.

Katanya kesibukkan sebagai pemimpin tetap tidak menghalang untuk
bersama rakyat bagi meraikan sambutan Aidilfitri.

“Bukan hanya rakyat tetapi barisan kepimpinan juga mahu meraikan
Aidilfitri bersama-sama dan ini turut memperjelaskan bahawa barisan
kepimpinan sentiasa mengingati rakyat,” katanya.

Manakala bagi sektor korporat, beliau memberitahu ia turut
memperjelaskan bahawa sektor korporat seperti Petronas sentiasa mahu
mendampingi rakyat dan tidak hanya memikirkan soal keuntungan
semata-mata.

“Rakyat tetap menjadi pilihan dan ia tidak pernah berubah kerana kita
sentiasa berusaha memastikan kesejahteraan dan keharmonian terus
dinikmati oleh rakyat,” katanya dan menambah penglibatan Petronas
dalam menganjurkan majlis tersebut adalah juga untuk memperjelaskan
kepada rakyat bahawa organisasi itu tidak mengabaikan tanggungjawab
sosial mereka kepada rakyat.

Katanya organisasi itu tidak hanya menumpukan kepada projek
pembangunannya di Sipitang tetapi juga turut menumpukan kepada
pembangunan masyarakat setempat.

Menurutnya projek yang dilaksanakan oleh Petronas memberikan impak
positif kepada rakyat setempat dan ianya membantu usaha membangun
serta memajukan Sipitang.

Sambil mengucapkan selamat meraikan Aidilfitri, Sapawi turut berharap
rakyat akan terus bersatu, memesrakan lagi kasih sayang yang ada dan
terus memastikannya berkembang daripada satu generasi kepada generasi
akan datang.

Share |