Thursday, August 6, 2015

Lawatan Kerja Ke Mesir

 SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Pegawai Tadbir Wisma Yayasan Sabah Kaherah Sabli Aliju (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Yang Dipertua  Badan kebajikan Penuntut Sabah Mesir Pengiran  Mohd Hanif Awang Omar.
 ROSAK…Sapawi  bersama pegawai kanan Yayasan Sabah mendengar penjelasan daripada Jurutera Struktur Kumpulan Yayasan Sabah Syahrul Rozaily mengenai tahap kerosakan bangunan Wisma Yayasan Sabah Kaherah.
 KENANGAN…Sapawi bersama rombongan Yayasan Sabah sempat meluangkan masa melawat tapak bersejarah Primaid di Mesir.
 INDAH…Sapawi bersama rombongan dan pelajar Yayasan Sabah mengabadikan kenangan di depan Wisma Yayasan Sabah Kaherah


MANTAP….Sebahagian pelajar tajaan Yayasan Sabah ketika menghadiri majlis ramah mesra bersama pengarah Yayasan Sabah

 MESIR: Pelajar tajaan Yayasan Sabah diharap dapat memfokuskan kepada pelajaran masing-masing dan berusaha mencapai kejayaan yang diharapkan.
    Pengarahnya Datuk Sapawi Ahmad berkata pembangunan pendidikan tetap dan akan terus menjadi agenda utama kepada Yayasan Sabah.
    "Pembangunan pendidikan tidak akan menjadi agenda nombor dua Yayasan Sabah sebaliknya ia merupakan agenda utama," katanya ketika ditemui selepas majlis ramah mesra pelajar tajaan Yayasan Sabah di sini kelmarin.
    Majlis anjuran Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir itu dibuat dalam lawatan kerja Sapawi ke Kaherah dan Mesir.
    Sapawi memberitahu agenda itu juga seiring dengan peringatan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang juga pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah yang mahukan organisasi itu terus memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan di Sabah.
    Beliau berkata sejak 2006, Yayasan Sabah telah mengeluarkan perbelanjaan lebih RM20 juta bagi bisiswa dan pinjaman untuk menghantar pelajar melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan pengajian Islam.
    "Lebih 200 pelajar telah ditaja oleh Yayasan Sabah dan mereka telah dihantar ke beberapa buah universiti termasuklah di Cairo dan Iskandariah," katanya lagi.
    Dalam ucapannya pada majlis itu Sapawi memberitahu Yayasan Sabah telah membeli sebuah bangunan di Iskandriah pada tahun 2008 bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah.
    Katanya bangunan pertama milik Yayasan Sabah dibeli pada tahun 1997 di Kaherah dan kedua-duanya telah dijadikan sebagai asrama untuk pelajar tajaan organisasi tersebut.
    "Kita sedar terdapat kerosakan yang perlu diperbaiki termasuklah katil dan tilam yang perlu diganti dan perkara ini akan diberikan perhatian dan kita akan mengambil tindakan segera...semua ini adalah untuk memastikan keselesaan dann keselamatan pelajar," katanya lagi.
    Sapawi berkata Yayasan Sabah tidak mengabaikan kebajikan dan kepentingan pelajar tajaannya di negaara tersebut dan akan melakukan apa juga usaha yang terbaik untuk kesemua pelajarnya.
    Menurutnya usaha yang dilakukan oleh Yayasan Sabah adalah untuk memberikan sokongan dan dorongan kepada pelajar agar mereka memfokuskan dan komited kepada pelajaran masing-masing dan berusaha mencapai kejayaan dan juga kecemerlangan.
    Sehubungan dengan itu Sapawi berharap pelajar tajaan Yayasan Sabah tidak akan terpengaruh dengan usaha pelbagai pihak yang cuba mempergunakan mereka.
    Katanya golongan pelajar perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati dan tidak mudah mempercayai apa yang disebarkan dalam media sosial.
    "Pihak tertentu itu menggunakan media sosial seperti facebook, blog dan sebagainya untuk mempengaruhi golongan pelajar...apa yang disebarkan adalah dakyah dan tidak harus mudah untuk dipercayai," katanya lagi.
            Pada lawatan kerja tersebut juga Pemangku Pengurus Kumpulan Bahagian Pembangunan Pendidikan Yayasan Sabah Bahiwata S.Mulia dan Pengurus Kumpulan Kanan Sumber Manusia dan Perkhidmatan Korporat Rosmawati Lasuki telah mengadakan sesi ceramah khas bagi pelajar tajaan Yayasan Sabah di Mesir.


Share |