Tuesday, November 3, 2015

Bajet 2016 `Lansaran' bagi Malaysia # Untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020




MINGGU kedua persidangan Dewan Rakyat menyaksikan semakin ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengambil bahagian dalam perbahasan ke atas Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 23 Oktober lepas.
Perbahasan peringkat awal didominasi oleh wakil rakyat pembangkang, kemudian disusuli oleh penyokong kerajaan.
Pelbagai isu diketengahkan mengenai bajet berkenaan yang bertemakan `Mensejahterakan Kehidupan Rakyat'  yang merupakan bajet pertama di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang dibentangkan pada 21 Mei lepas.
Ia dikatakan menjadi petunjuk kepada pencapaian sasaran makro bagi Malaysia ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
" Saya mendengar penuh teliti, dan kemudian membaca teksnya berkali-kali. Dapatan saya jelas dan pasti -- biarpun dalam suasana sukar, Bajet 2016 tetap membugar, merangkumkan kesungguhan dayausaha pimpinan, bagi memperkukuhkan pertumbuhan dan menjamin keseimbangan sosial hidup rakyat hingga ke peringkat akar-umbi, sampai ke desa-desa nun jauh terpencil," demikian ungkapan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad.
Dalam ucapan perbahasannya, beliau menyentuh pelbagai isu selain mengupas intipati bajet yang berasaskan lima keutamaan.
Ia termasuk memperteguh ketahanan ekonomi negara; meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau; mempersiaga modal insan, memperkasa agenda Bumiputera; dan meringankan kos sara hidup rakyat.
Sapawi optimis bahawa dayausaha yang diikhtiarkan oleh pimpinan, yang dipintal dalam dokumen Bajet 2016 mampu mengubah ruang horizon kehidupan rakyat, dan meletakkan Malaysia sebaris negara maju dari benua-benua lain.
"Natijahnya, Bajet 2016 menjadi `Lansaran' (salah satu tarian etnik Murut melompat mencapai sesuatu di bahagian atas) bagi Malaysia melompat tinggi dalam waktu yang cuma berbaki kira-kira empat tahun lagi, sebelum kita masuk gelanggang Wawasan 2020," katanya.
Beliau mengakui  terdapat banyak keistimewaan dan keunikan Bajet 2016 berbanding sebelum ini.
"Umpama sepohon pokok merimbun, Malaysia punya 14 dahan besar (merangkumkan 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan) dengan ratusan akar (mewakili pelbagai suku, kaum dan sub-etnik), menjalari mencengkam kukuh ke bumi, yang menjadikan pokok ini tetap teguh, walaupun akhir-akhir ini, selalu ribut dan taufan meniup kencang, hinggakan pohon  kadang-kadang terasa bergoyang-goyang.
"Pokok besar inilah yang dibaja Bajet 2016, yang diangkat dengan tema "Mensejahterakan Kehidupan Rakyat" bertunjangkan lima keutamaan sebagai teras utama, mendukung sejati kepentingan rakyat, dalam jihad mencari perdamaian sosial, mencipta kesejahteraan dan sama-sama menuai kemakmuran ekonomi, yakni berteraskan keseimbangan di antara `Capital Economy' dan `People Economy'," katanya.
Jauh ke hadapan, katanya, Bajet 2016 membuka lebar segala peluang dan potensi.
Dengan segala kemudahan dan insentif, semua segmen masyarakat dibantu, daripada golongan pesawah, pekebun kecil dan penoreh getah, sehingga kepada usaha mempersiaga modal insan, sebagai persiapan bagi Malaysia mencipta kejayaan sebagai negara maju berpendapatan tinggi.
Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 misalnya, sejumlah RM41.3 bilion diperuntukkan pada tahun hadapan, untuk membina 30 sekolah rendah, 27 sekolah menengah, empat MRSM dan lima Sekolah Berasrama Penuh.
"Dari catatan angka-angka terpahat dalam Bajet 2016 ini, nyata Malaysia sedang berada di landasan yang kukuh, sedang bergerak mengikut kompas pelayaran, menuju status negara maju, tanpa membelakangkan perihal kebajikan rakyat," katanya.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dalam pembentangan Bajet menegaskan dengan jelas  "tentang rupawajah dan warna-warna kemajuan negara serta sahsiah rakyat yang kita dambakan, ketikamana memasuki gelanggang negara maju kelak, dalam apa jua yang direncanakan, seperti dokumen Bajet ini, perihal kebajikan dan kepentingan rakyat, menjadi keutamaan".
Selain mengurus pengagihan kekayaan secara adil, demi kepentingan rakyat, Bajet 2016 turut menyesuaikan pendekatan modal ekonomi, sebagai enjin pertumbuhan untuk bergerak ke hadapan.
"Tertulis dengan terang dan jelas, pimpinan kita melakukan transformasi fundamental ekonomi, dan mengubah paradigma pembangunan, untuk menjadi lebih produktif," katanya.
Sapawi meneghaskn bahawa  Bajet 2016  memancarkan dayausaha yang sungguh luarbiasa, dari pimpinan dan pemerintah yang berjiwa besar, untuk terus memperkukuh ekonomi negara, membina dayatahan, menyanggah tempias gelombang ekonomi dunia.
Katanya, ia terbukti dengan penumpuan pada sektor-sektor produktif menjana pertumbuhan, umpamanya berasaskan pertanian dan sumber domestik, selain memperkasa perkhidmatan sosial rakyat, seperti mengekalkan BR1M, memperhebat PR1MA dan yang sewaktu dengannya.
"Matlamatnya menuju ke satu arah -- iaitu merapatkan jurang antara bandar dan desa,  menyeimbangkan pembangunan antara negeri dan wilayah, mengharmonikan tingkat kehidupan rakyat antara miskin dan kaya, sambil tidak melupakan amalan sistem politik secara demokratis, bertunjangkan kesederhanaan/wassattiyah sebagai negara Islam yang moderat," katanya.
Sapawi turut menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Pusat atas perhatian yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak dalam Bajet 2016.
"Terima kasih seikhlasnya, dari hati yang paling dalam, kepada pucuk kepemimpinan kita, atas penyediaan peruntukan maha besar, dan perhatian maha istimewa, untuk kedua-dua negeri  di seberang Laut China Selatan ini," katanya.
Ia termasuk dalam Keutamaan Keempat bagi Memperkasa Agenda Bumiputera yang menyebut ia merangkumi pembangunan masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Beliau menyifatkan ia sebagai hadiah paling besar dan istimewa dalam tawarikh Sabah dan Sarawak, yang ditempatkan mengatasi negeri-negeri lain.
"Benarlah barangkali kata bintara pejuang dan nasionalis, tiga S bergabung membentuk satu kekuatan -- Sabah + Sarawak + Semenanjung - menjadi negara bernama Malaysia," katanya.
Sehubungan itu,  beliau berharap jangan lagi ada oportunis cuba menanguk di air keruh, sebaliknya berrhentilah menabur nista, kerana rakyat  di Sabah dan Sarwak tidak lagi dapat dikaburi mata dengan umpanan kata-kata.
Di akhir perbahasannya, Sapawi mengajak rakyat di serata tanah air untuk terus bersatu dan berpadu usaha membangunkan Malaysia.
Katanya, walaupun dalam keadaan sukar, serta suasana global yang mencabar, dengan hasil kerajaan terjejas akibat penurunan harga minyak di pasaran global, dan kelemahaan nilai ringgit, namun Perdana Menteri membuktikan kemampuan mengurus ekonomi Malaysia sebaik-baiknya, menerusi penampilan pragmatik Bajet 2016.
"Justeru, marilah kita bersama-sama  berikan idea dan pendapat, untuk mencapai matlamat yang terpahat, atas nama kepentingan rakyat, bukan untuk kepentingan politik singkat.
"Pentingnya bukan kepalang, untuk kita mendokong teguh satu pimpinan, yang telah diberi mandat oleh rakyat, kerana inilah pilihan dan takdir sejarah politik.
"Jangan sesekali tergoda dengan momokan sang petualang, padahnya bukan calang-calang, nanti kelak ternoda masa depan anak-cucu kita, layu tergadai di bumi sendiri," katanya.
Kepada rakyat, Sapaawi mengajak semua bersama-sama menjayakan agenda murni yang dipasak dalam Bajet 2016 ini.
Jangan kita terbawa-bawa dengan emosi dan fantasi, tapi berfikirlah kita mengikuti kata hati naluri dan realiti.
Sapawi menutup perbahasannya dengan serangkap pantun:-
Dari Sipitang ke Kepala Batas
Bawa beg sambil digalas
Budimu PM tidak terbalas
Sipitang menyokong tulus dan ikhlas

ends


Langkah dilaksana dalam agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak:

Pertama: Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang meliputi jajaran sepanjang 1,090 km, dijangka siap sepenuhnya pada 2021 dengan anggaran kos RM16.1 bilion.
  Di Sabah pula, fasa 1 lebuhraya ini, akan mula dibina pada 2016 meliputi 706 kilometer, bermula dari Sindumin ke Tawau, dengan anggaran kos RM12.8 bilion. Lebuhraya Pan Borneo ini akan bebas daripada sebarang bayaran tol;

Kedua: Pengangkutan penumpang udara merupakan antara mod utama pengangkutan bagi penduduk pedalaman, di Sabah dan Sarawak serta Labuan. Maka, perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Rural Air Services dikecualikan daripada GST;

Ketiga: Sebagai satu program baru, RM70 juta disediakan melalui Bank Simpanan Nasional dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, bagi pinjaman tanpa faedah untuk tujuan membina rumah-rumah panjang dengan had pinjaman RM50 ribu untuk setiap unit di rumah panjang;

Keempat: RM70 juta sebagai subsidi baja padi huma disediakan untuk meningkatkan bekalan makanan dan pendapatan penanam padi huma, yang meliputi kawasan seluas 65 ribu hektar di Sarawak, dan 11 ribu hektar di Sabah;

Kelima: RM260 juta disediakan untuk Program 1Harga 1Sarawak dan Program 1Harga 1Sabah bagi memastikan keseragaman harga barangan terpilih di seluruh negara;

Keenam: RM115 juta disediakan khusus bagi Program Khas Bumiputera Sabah dan Sarawak, seperti untuk projek native customary rights, yang merangkumi prosedur-prosedur pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat, serta melibatkan kos membina native courts, atau mahkamah-mahkamah adat. Bagi projek native customary rights, RM20 juta daripada jumlah tersebut untuk pemetaan tanah di Sabah, dan 30 juta ringgit pula, untuk tujuan yang sama di Sarawak; dan

Ketujuh: Meningkatkan perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia di pendalaman Sabah dan Sarawak, termasuk pembelian bot dan kenderaan baru.
Share |