Thursday, November 19, 2015

Program Keusahawanan Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Sipitang

 TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Surinam menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Wanita  Muilin Junsin Umno Sipitang  di majlis tersebut.
 CERIA…Sapawi dan Surinam bersama peserta mennjukkan tanda bagus sejurus merasmikan program tersebut.


USAHA…Sapawi bersama peserta 1 Azam sejurus menyampaikan peralatan bagi memulakan perniagaan di majlis tersebut

SIPITANG: `Perniagaan bukan sekadar untuk sumber pendapatan tetapi ia mampu menjadi landasan ke arah mewujudkan kesatuan di kalangan rakyat.'
     Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata demikian ketika merasmikan Program Keusahawanan Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Sipitang di sini kelmarin.
     Beliau berkata seorang peniaga akan berhadapan dengan pengguna yang pelbagai dan menerusi itulah kesatuan mampu diwujudkan.
     "Pengguna datang daripada pelbagai suku kaum dan bidang perniagaan merupakan salah satu landasan kepada kita untuk memperkukuhkan persefahaman dan perpaduan dan inilah yang disebutkan sebagai kesatuan di kalangan rakyat," katanya.
     Bagaimanapun beliau menegaskan mereka yang menceburi perniagaan haruslah ikhlas dan amanah kerana perniagaan juga menghadirkan pelbagai ujian serta cabaran.
     Katanya persaingan yang dihadapi mampu membawa seseorang peniaga atau usahawan untuk melakukan sesuatu yang menyimpang dan ianya perlu untuk dielakkan.
    Mengenai program tersebut, Sapawi berkata pelaksanaan program itu adalah untuk membantu meningkatkan sumber pendapatan keluarga menerusi perniagaan.
    "Kita mahu menjadikan perniagaan itu sebagai salah satu budaya kepada bumiputera kerana perniagaan berupaya meningkatkan sumber pendapatan yang sedia ada," katanya dan menambah mereka yang menceburi bidang perniagaan harus tidak mudah berputus asa dan perlu sentiasa berusaha meningkatkan pencapaian masing-masing.
    Beliau berkata usaha itu termasuklah sentiasa meningkatkan diri dengan ilmu dan mempastikan pengurusan perniagaan dilakukan dengan sebaik mungkin.
    Bagaimanapun Sapawi meningkatkan agar mereka yang menceburi bidang perniagaan ataupun keusahawanan harus mengelak daripada membuat pinjaman dengan along.
    "Memang salah satu masalah yang bumiputera hadapi adalah modal tetapi cara terbaik adalah membuat pinjaman dengan agensi pinjaman yang diiktiraf oleh kerajaan," katanya lagi.
Hadir sama pada majlis tersebut pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Sipitang merangkap Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun.

  
Share |