Thursday, November 19, 2015

Ielancaran Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela (SRS) Peringkat Daerah Beaufort

    SEMBOLIK…Sapawi diperhatikan oleh Delin memukul gong tanda rasmi majlis tersebut.


CERIA…Sapawi merakamkan kenangan bersama sebahagian anggota SRS sejurus perasmian tersebut.

BEAUFORT: Tanggungjawab terhadap keselamatan harus tidak hanya diletakkan kepada pihak berkuasa tetapi ia juga merupakan tanggungjawab seluruh rakyat.
     Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata aspek keselamatan merupakan perkara penting dan perlu diberikan keutamaan oleh rakyat.
     "Aspek keselamatan harus tidak hanya diserahkan kepada pihak berkuasa seperti polis tetapi kita sebagai rakyat negara ini turut bertanggungjawab dan perlu memainkan peranan tersebut," katanya pada majlis pelancaran Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela (SRS) peringkat daerah di sini kelmarin.
                Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Perpadaun Negeri dan Integrasi  Nasional Sabah Delin Liet Blaun, Wakil Ketua Polis Beaufort Inspektor Faiz Zainuddin, Pegawai Jabatan perpaduan Negeri dan Integrasi Nasional pendalaman Bawah Mahadi Radin dan Pengerusi KRT Bemgkalalak merangkap pengerusi penganjur Iman Ghapar
     Sapawi berkata kerajaan sendiri meletakkan soal keselamatan sebagai perkara yang penting dan perlu diberikan keutamaan.
     Katanya kerajaan tidak mengambil sikap bertolak-ansur berhubung soal keselamatan sebaliknya bertindak tegas sekiranya terdapat ancaman daripada mana-mana pihak.
    Bagaimanapun beliau berkata usaha yang dilakukan oleh kerajaan tetap memerlukan sokongan dan penglibatan daripada rakyat.
    Menurut kerajaan sentiasa mengalu-alukan penglibatan rakyat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menumpukan kepada aspek keselamatan.
    "Kerajaan bukan sahaja memberikan sokongan tetapi turut mengalu-alukan penglibatan rakyat dengan badan atau organisasi sukarela yang berkaitan dengan keselamatan," katanya dan menambah pengwujudan SRS merupakan salah satu wadah kepada rakyat untuk melibatkan diri dan memperlihatkan tanggungjawab mereka kepada soal keselamatan.
    Bagaimanapun Sapawi memberitahu badan atau organisasi sukarela yang berkaitan dengan soal keselamatan perlu sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa keselamatan seperti polis.
    Katanya peraturan dan undang-undang harus tidak dibelakangkan dan kerjasama dengan pihak berkuasa keselamatan bukan sahaja perlu diadakan tetapi penting bagi diperkukuhkan.
    Sambil melahirkan penghargaan kepada mereka yang menyertai SRS Beaufort, Sapawi berkata semangat seumpama itu perlu diperkembangkan agar dapat menjadi budaya khususnya kepada generasi muda.
   "Keselamatan amat penting kerana kita mahu menikmati keharmonian yang berterusan dan semangat yang diperlihatkan bagi menjadi ahli SRS wajar dibanggakan," katanya lagi.



Share |