Friday, December 4, 2015

Lawatan Kerja Yayasan Sabah Ke Yayasan Pahang

 MESRA…Sapawi sedang berbual mesra dengan Mahmud pada lawatan tersebut.
 TAKLIMAT…Mahmud mewakili yayasan Pahang menyampaikan taklimat kepada Sapawi dan rombongan Yayasan sabah dimajlis tersebut.
 DIHARGAI…Sapawi menerima cenderakenangan daripada Mahmud sempena kunjungan tersebut.


KENANGAN….Sapawi dan Mahmud merakamkan kenangan bersama pegawai-pegawai kanan Yayasan Sabah dan yayasan Pahang sempena kunjungan tersebut.

YS TETAP UTAMAKAN PENDIDIKAN



PAHANG:  Pembangunan pendidikan di negeri ini tetap menjadi
keutamaan kepada Yayasan Sabah sebagai salah satu usahanya untuk
meningkatkan sosio-ekonomi rakyat negeri ini.

Penubuhan Kolej Universiti Yayasan Sabah atau University College Sabah
Foundation (UCSF) yang telahpun memulakan operasinya sudah cukup
menggambarkan komitmen Yayasan Sabah terhadap pembangunan pendidikan
di negeri ini.

UCSF yang turut dikenali sebagai Green University (Universiti Hijau)
kerana tumpuan dalam bidang penyelidikn biodiversiti, konservasi dan
eko-pelancongan membuka peluang kepada generasi negeri ini untuk
menimba dan memperolehi pendidikan ke peringkat tinggi. Sebelum ini
Yayasan Sabah telahpun menubuhkan Kolej Yayasan Sabah (KYS).

“Suatu ketika kita menubuhkan KYS untuk memberikan peluang kepada
pelajar negeri ini melanjutkan pelajaran dan langkah itu membawa hasil
apabila KYS menjadi tumpuan kepada pelajar negeri ini.

“Kejayaan itulah yang mendorong Yayasan Sabah untuk menubuhkan UCSF
dan penubuhan itu adalah kerana Yayasan Sabah mengutamakan
pendidikan,” kata Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi
Ahmad ketika ditemui sejurus membuat lawatan kerja ke bangunan Yayasan Pahang di Kuantan baru-baru ini.

Hadir sama pada lawatan tersebut termasuklah Pengarah Yayasan Pahang Dato’ Mahmud Bin Mohd Nawawi , Pengerusi KYS Datuk Dr. Kamal Quadra, Ketua Eksekutif KYS Datin Tarsiah Taman, Pengurus KumpulanPembangunan Pendidikan Bahiwata Mulia dan Pengurus Kanan Cawangan Yayasan Sabah  Kuala Lumpur Zaidah Hussain serta pegawai-pegawai kanan pendidikan Yayasan Sabah.

Sapawi berkata untuk meningkatkan sosio-ekonomi rakyat khususnya di
luar bandar, pembangunan pendidikan tidak boleh diabaikan.

Katanya hanya pendidikan merupakan azimat terbaik untuk mengubah
ekonomi sesebuah keluarga.

“Generasi yang berpendidikan tentunya berupaya mengubah nasib keluarga
mereka kerana generasi inilah yang akan memastikan pembangunan dan
kemajuan dilaksanakan dalam keluarga tersebut,” katanya.

Sapawi memberitahu YS sentiasa memastikan pembangunan dan kemajuan
pendidikan di KYS dan UCSF seiring dengan kemajuan semasa.

Katanya pembangunan dan kemajuan pendidikan di KYS dan UCSF sentiasa
dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Maka perjanjian persefahaman dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP)
yang dimeterai di Pekan, Pahang merupakan salah satu usaha yang
dilakukan oleh YS.

Sapawi berkata MoU itu mampu merealisasikan hasrat untuk menjadikan
KYS sebagai kolej universiti teknikal menjelang 2020.

“Kita berhasrat untuk menjadikan KYS sebagai kolej universiti teknikal
menjelang 2020 dan MoU dengan UMP membantu merealisasikan hasrat
tersebut,” katanya.

Menurutnya bagi memastikan KYS mendapat tumpuan dan memenuhi hasrat
generasi untuk melanjutkan pelajaran, bidang disediakan adalah bidang
yang mampu memenuhi kehendak pasaran ataupun `marketable.'

Sapawi berkata Yayasan Sabah sememangnya fokus kepada bidang
profesional dan kemahiran.

Katanya tumpuan itu membolehkan Yayasan Sabah melahirkan graduan
yang marketable (memenuhi kehendak pasaran).

Menurutnya Yayasan Sabah juga akan menaja pelajar Sabah yang
mengikuti program dalam bidang profesional dan juga kemahiran.
Beliau berkata Kerajaan Negeri turut menawarkan biasiswa kepada
pelajar Sabah bagi mengikuti program seumpama itu.

“Kita sentiasa berusaha meningkatkan pembangunan dan kemajuan
pendidikan dan apa yang kita lakukan ialah untuk memastikan generasi
muda negeri ini terus dapat menikmati pendidikan yang berkualiti,”
katanya lagi.

Menurutnya generasi yang berpendidikan tentunya mampu menjadi modal
insan yang terbaik dan sekaligus menjadi aset penting kepada Sabah dan
juga negara.

“Kita berharap usaha kita untuk memastikan pembangunan dan kemajuan
pendidikan terus dilaksanakan tidak akan dipersiakan oleh generasi
muda dan kita mahu apa yang kita lakukan dinikmati oleh mereka,”
katanya lagi.

Share |