Sunday, February 19, 2012

Mesyauarat Agung Persatuan Bekas Tentera Malaysia,Sipitang


BANTUAN…Sapawi diperhatikan oleh Sanon dan Khamis menyampaikan bantuan kewangan kepada balu salah seorang ahli PBTM Sipitang.
SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Sanon menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada Khamis Bair mewakili PBTM Sipitang

SIPITANG: Bekas anggota tentera digesa agar menyertai dan menjadi ahli persatuan bekas tentera bagi membolehkan mereka memperolehi manfaat daripada kerajaan.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah melupakan jasa dan sumbangan yang diberikan oleh bekas anggota tentera.

“Segala jasa dan sumbangan yang diberikan oleh anggota tentera sama ada mereka masih berkhidmat atau tidak lagi berkhidmat sentiasa dihargai oleh kerajaan dan kerajaan tidak pernah melupakannya atau bersikap sambil lewa terhadap mereka,” katanya pada persamian mesyuarat agung Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Sipitang di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Yang Dipertua PBTM Sabah Abdul Sanon Saparit, Yang Dipertua Sri Kandi Sabah Saimah Hussin, Naib Yang Dipertua PBTM Sabah Marsat Salleh dan Yang Dipertua PBTM Sipitang Khamis Bair

Sapawi berkata bagi menghargai sumbangan dan jasa itu, kerajaan telah memberikan pelbagai bantuan dan insentif dan ianya disalurkan kepada PBTM.

Katanya kerajaan mahu agar semua bantuan dan insentif itu dapat dimanfaatkan oleh semua bekas anggota tentera di negara ini.

Bagaimanapun, Sapawi memberitahu kerajaan tidak dapat menyalurkan bantuan dan insentif itu kepada orang perseorangan tetapi melalui persatuan.

“Sebab itulah kerajaan menggalakkan agar bekas anggota tentera menyertai persatuan agar mereka terus dapat dibela,” katanya lagi.

Beliau berkata kerajaan melihat anggota tentera sebagai organisasi yang penting dalam memastikan keamanan dan keharmonian negara.

Katanya perjuangan mereka termasuklah pejuang kemerdekaan tidak mungkin dapat dinilai dengan segala bantuan “namun sebagai tanda kerajaan amat menghargai jasa dan sumbangan itu, pelbagai bantuan dan insentif disediakan.”

Sehubungan dengan itu Sapawi berharap agar bekas anggota tentera yang belum menyertai persatuan, akan menyertai dan menjadi ahli persatuan tersebut.

Katanya pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan disalurkan kepada persatuan dan ianya haruslah dimanfaatkan.

“Kerajaan BN tidak sama seperti kerajaan lain…kita sentiasa memastikan kebajikan bekas anggota tentera di negara ini akan terus dibela kerana jasa dan bakti yang disumbangkan sesungguhnya amat dihargai,” katanya lagi.




Share |