Sunday, February 19, 2012

Samur membawa makmur Sipitang bertuah jadi lokasi projek mega berskala dunia


TETARIK…Najib diiringi oleh Musa dan Sapawi sedang melawat pameran yang dikelolakan oleh Petronas.
SOKONGAN PADU…Sebahagian ribuan penduduk setempat yang hadir pada majlis pecah tanah SAMUR Petronas.
DIHARGAI…Najib menerima cenderakenagan daripada presiden Petronas Datuk Shamsul Azhar Abbas dimajlis tersebut.
MESRA…Najib bersalaman dengan orang ramai yang hadir menyambut ketibaanya di Perasmian Projek SAMUR.

KENANGAN TERINDAH…Najib bersama Musa dan Sapawi sempat meluangkan masa merakamkan kenangan bersama guru dan pelajar ketika melawat SMK Sindumi Sipitang

Samur membawa makmur
Sipitang bertuah jadi lokasi projek mega berskala dunia

KHAMIS lepas, perhatian negara tertumpu ke Sipitang, di pantai barat Sabah, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkunjung untuk menyempurnakan majlis pecah tanah Projek Ammonia Urea Sabah (Samur) membabitkan pelaburan bernilai RM4.6 bilion.

Projek dilaksanakan Petronas Chemicals Group (PCG) itu bukan saja membawa dimensi baru pertumbuhan ekonomi Sabah, malah ia dilihat bakal membawa limpahan kemakmuran kepada negeri, rakyat dan kawasan setempat.

Ini kerana ia bukan sekadar membawa lonjakan perdagangan, tetapi juga dapat merangsang industri hiliran dan huluan yang berkaitan.

Lebih penting ia membuka ruang perniagaan sampingan -- perkhidmatan, pengangkutan, perhotelan dan pelancongan -- serta paling utama bakal menyedia peluang pekerjaan sehingga 4,000 orang apabila ia beroperasi sepenuhnya pada tahun 2015.

Tempias manfaat ini tentunya akan dirasai dan dinikmati oleh masyarakat setempat di Sipitang dan kawasan sekitarnya.

Tidak syak lagi, Samur membawa makmur dalam ertikata yang lebih menyeluruh.

Inilah rumusan yang disimpulkan oleh Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad, terhadap pelaksanaan projek berskala dunia itu yang melonjakkan nama daerah Sipitang ke persada dunia.

Sambil menyatakan rasa bangga dan gembira kerana Sipitang dipilih sebagai lokasi projek itu, Sapawi mengakui ia membawa impak besar lagi bermakna kepada daerah itu dan rakyat setempat.

"Bagi saya, projek ini membuka lembaran baru bagi Sipitang dan negeri Sabah di mana ia diyakini mampu menjana pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang," katanya mengulas pelaksanaan projek berkenaan.

Menurutnya, dengan pelaksanaan projek Samur itu, maka banyak peluang ekonomi sampingan akan berkembang di daerah itu dan ia bakal mengubah suasana dan keadaan Sipitang.

"Projek Samur ini adalah projek terbaru yang mampu mengubah wajah Sipitang, seiring pembangunan yang dinikmati daerah ini semenjak pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kita berterima kasih kepada pimpinan di peringkat Kerajaan Pusat di bawah naungan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga pimpinan negeri yang didokong Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman, atas usaha dan inisiatif membawa pembangunan untuk Sipitang, termasuk terbaru projek Samur ini," katanya.

Sapawi menegaskan bahawa pelaksanaan projek itu adalah perancangan strategik dan berwawasan pimpinan negara ke arah menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Beliau turut menghargai kunjungan Perdana Menteri bagi menyempurnakan perasmian majlis pecah tanah projek berkenaan, dan menganggapnya sebagai bukti keprihatinan pimpinan tertinggi untuk sentiasa dekat di hati rakyat.

Katanya, kunjungan Perdana Menteri kali ini adalah yang kedua dalam tempoh lapan bulan selepas kunjungan pada bulan Jun tahun lepas bagi menyempurnakan perasmian Festival Gata dan perasmian Esplanad Sipitang.

"Mewakili rakyat Sipitang, saya merakamkan penghargaan setinggi-tingginya atas keprihatinan pimpinan kita membawa projek-projek pembangunan di daerah ini," katanya, sambil mengakui Sipitang kini membangun bersama BN.

Sapawi menyifatkan projek Samur yang merupakan pelan strategik di bawah Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) sebagai hadiah Kerajaan Pusat kepada warga Sipitang.

Menurut Petronas, projek Samur ini bakal menjadikan Petronas Chemicals sebagai pengeluar baja kedua terbesar di Asia Tenggara pada 2015.

Projek Samur itu membabitkan tiga loji pengeluaran utama, iaitu ammonia, urea dan pembutiran di dalam satu kompleks.

Kilang urea itu akan mengeluarkan 1.2 juta tan metrik setahun (MTPA) urea berbutir manakala kilang ammonia akan mengeluarkan 740,000 MTPA ammonia cecair.

Kini, Petronas Chemicals mengendalikan dua kilang urea - satu kilang urea 750,000 MTPA di Bintulu, Sarawak dan satu kilang urea 683,000 MTPA di Gurun, Kedah.

Dalam ucapannya pada majlis pecah tanah itu, Najib turut mengakui bahawa projek hiliran itu bukan sahaja memberi nilai tambah setiap tahun kepada pendapatan negara dalam sektor hiliran, malah ia bakal melakukan transformasi landskap daerah Sipitang dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Katanya, sekitar 2,000 hektar tanah di daerah Sipitang akan dimajukan sebagai industri minyak dan gas serta industri sampingan yang lain.

Secara umum, Samur akan meningkatkan lagi sumbangan pendapatan NKEA bagi sektor minyak dan gas yang dianggarkan berjumlah RM241 bilion setahun menjelang 2020.

Mengulas kepentingan sumber alam itu, Najib berkata pendekatan strategik di bawah NKEA perlu dilaksanakan termasuk melakukan usaha nilai tambah melibatkan kerja mencari gali di laut dan memajukan telaga minyak.

Selain itu, eksport bahan mentah juga perlu ditukar kepada industri hiliran yang boleh menjana pendapatan lebihan kepada negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi projek berkenaan, pihak Petronas sendiri telah memberi jaminan bahawa 80 peratus tenaga kerja akan melibatkan warga tempatan dan perkara ini secara langsung membuka ruangan lebih besar terhadap peluang pekerjaan kepada rakyat jelata.

Bagi Petronas sendiri, projek Samur itu bakal melonjakkan kedudukan PCG sebagai pengeluar baja kedua terbesar di Asia Tenggara.

Pengerusi PCG, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata Projek Samur itu dijangka menggandakan kapasiti pengeluaran baja urea syarikat hiliran ini.

"Projek ini juga akan turut menyumbang ke arah usaha kami untuk mengukuhkan kekuatan operasi, pemerkasaan pemasaran dan logistik pasaran PCG sebagai pengeluar utama di dalam pembekalan baja rantau Asia Pasifik," katanya.

Wan Zulkiflee berkata sebahagian besar daripada pengeluaran urea dunia adalah untuk sektor pertanian dan tertumpu di rantau Asia Pasifik.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmen Petronas untuk terus melabur sekitar RM45 bilion di dalam industri huluan dan hiliran di Sabah dalam masa-masa akan datang, berikutan penemuan medan gas asli yang baharu ditemui di luar pesisir Negeri Bawah Bayu itu.










Share |