Saturday, February 18, 2012

Sabah Bukan Lagi Negeri Miskin



NAJIB bersalaman dengan orang ramai pada pelancaran projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di Kampung Nala, Tungku, Lahad Datu, semalam.

Jaminan terus nikmati manfaat pembangunan dibawa kerajaan BN

LAHAD DATU: Sabah sudah berganjak daripada status negeri termiskin di Malaysia susulan pelbagai pembangunan dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, perangkaan purata pendapatan perkapita mendapati Sabah kini berada di tengah-tengah negeri terkaya dan termiskin, manakala negeri paling miskin ialah Kelantan.
“Ketika Sabah bersama membentuk Malaysia pada 1963, kemiskinan memang wujud di merata tempat dan mungkin ketika itu lebih 70 peratus rakyat negeri ini miskin dan daif. Selepas sekian lama merdeka, Sabah membangun hasil perjuangan BN dan berpotensi besar untuk terus maju.

“Saya beri jaminan kerajaan tidak akan berhenti melaksanakan agenda transformasi pembangunan lebih besar ke negeri ini dan berusaha memastikan miskin tegar dapat disifarkan di Sabah,” katanya berucap melancarkan projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di Kampung Nala, Tungku, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. MESEJ Akuakultur Nala dilaksanakan berdasarkan pembangunan insitu dan tanah baru pengkulturan rumpai laut serta penternakan ikan baulu (chanos-chanos).

Projek itu juga membabitkan pembinaan 150 rumah menempatkan kira-kira 70 peserta sejak 17 November tahun lalu.
Najib berkata, bilangan rakyat dikategori miskin di Sabah menurun kepada 7,000 berbanding 30,000 satu ketika dulu dan pencapaian itu hasil usaha berterusan kerajaan negeri serta pelbagai agensi Persekutuan seperti FELDA selain Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar.

“Walaupun masih ada yang miskin, kejayaan kerajaan BN dalam menangani masalah kemiskinan di Sabah adalah hebat dan besar.

“Cuba tengok Kampung Nala ini, nilai setiap rumah berharga RM45,000 seunit, belum termasuk kos elektrik dan bekalan air. Jika dicampur, ia bermakna kita memberi RM60,000 kepada penduduk Kampung Nala tanpa meminta bayaran satu sen pun. Percayalah, tiada kerajaan di dunia mempunyai program seperti ini melainkan BN,” katanya.

Najib berkata, FELDA memberi sumbangan RM22 juta untuk menjayakan projek MESEJ di Nala dan tiap-tiap tahun agensi itu memperuntukkan RM50 juta kepada kerajaan negeri untuk menjaga nasib rakyat Sabah.

Perdana Menteri berkata, Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar juga akan menyalurkan elektrik luar bandar membabitkan 15,455 rumah tahun ini, manakala 68,092 rumah bakal menikmati bekalan air, selain 454.8 kilometer jalan akan dibina di Sabah.

Sumber


Share |