Sunday, February 12, 2012

Penyerahan Baucer BR1M Fasa 3 Sipitang



SERAH…Sapawi diperhatikanm oleh Ahmad dan Latip menyampaikan baucer BR1M kepada Karim Bin Damit di majlis tersebut.

SIPITANG: Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) untuk isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 merupakan hadiah Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata pemberian BR1M berjumlah RM500 itu juga adalah untuk membantu rakyat.

“Kita menghargai sokongan yang diberikan oleh rakyat dalam membantu memakmurkan dan mengharmonikan negara ini,” katanya pada majlis penyerahan baucer BR1M fasa ketiga di Dewan Serbaguna sini kelmarin.

Hadir sama pada penyerahan baucer BR1M fasa ketiga kepada 1,600 yang layak menerima termasuklah Adun Sindumin Ahmad Bujang, Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat, Ketua Daerah Sipitang Arif Ismail, Penolong Pegawai Daerah Sipitang Matlin Dullah dan Ariffin Rukut serta Pegawai Kemajuan Rakyat Sindumin Abdul Rahman Mohd Noh.

Sapawi berkata hasil sokongan yang diberikan oleh rakyat, perkembangan dan pembangunan ekonomi negara terus kukuh.

Kata hasil daripada ekonomi yang kukuh dan berkembang baik itulah yang membolehkan Kerajaan BN membantu rakyat.

“Apa yang dilakukan oleh Kerajaan BN tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan di negara-negara lain…bagi rakyat di negara ini, pelbagai bantuan dan kemudahan diberikan.

“Kita mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat tanpa mengira anutan agama mahupun suku kaum,” katanya lagi.

Beliau berkata Kerajaan BN sentiasa berusaha memastikan rakyat negara ini dapat menikmati keharmonian dan kemakmuran tanpa mengamalkan sikap pilih kasih.

Sapawi memberitahu apa yang didakwa oleh pembangkang terhadap apa yang dilakukan oleh Kerajaan BN kepada rakyat merupakan tohmahan dan fitnah semata-mata.

Katanya pembangkang membuat dakwaan itu kerana mahu agar rakyat tidak memberikan sokongan kepada BN.

“Perjuangan pembangkang amat berbeza dengan perjuangan BN…perjuangan pembangkang untuk kepentingan individu berbanding perjuangan BN yang meletakkan rakyat yang paling utama…inilah yang membezakan BN dengan pembangkang.

“Rakyat harus tidak mudah terpedaya dengan pembangkang…usah terpedaya dengan fitnah dan dakyah mereka,” katanya lagi.



Share |