SIPITANG: Datang, tinjau dan salami kehidupan penduduk kampung sebelum meneruskan idealisme masing-masing.
Monday, July 9, 2012
Meraikan Mahasiswa UKM
DIHARGAI….Sapawi diperhatikan oleh Ahmad menerima cenderakenangan daripada Dr. Khadijah Alwi di majlis tersebut.
SIPITANG: Datang, tinjau dan salami kehidupan penduduk kampung sebelum meneruskan idealisme masing-masing.
Itulah nasihat yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad ketika meraikan 37 mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada jamuan makan tengahari sempena program Operasi Khidmat Masyarakat yang berkampung di Kampung Ulu Bole dekat sini kelmarin.
“Kadang kala mahasiswa tidak melihat dan merasai kehidupan realiti masyarakat khususnya di luar bandar dan mereka ini hanya bergantung kepada idealisme yang diperolehi di tempat pengajian.
“Datang, tinjau dan salami kehidupan mereka (penduduk kampung) yang sebenar kerana inilah azimat paling berharga untuk mana-mana mahasiswa tampil sebagai generasi berilmu yang cemerlang,” katanya lagi.
Beliau berkata kerana tidak pernah melihat dan merasai realiti kehidupan sebenar penduduk kampung, terdapat segelintir mahasiswa bertindak di luar jangkaan termasuklah menentang kerajaan.
Katanya mahasiswa ini hanya bersandarkan kepada laporan atau berita yang tidak mereka rasai.
“Apa yang kita baca atau dengar sama sekali berbeza dengan apa yang kita lihat dan rasai…kita mahu mahasiswa tahu apa perkara sebenar yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional dalam membantu membangunkan penduduk luar bandar,” katanya lagi.
Sapawi berkata jangan mudah terpengaruh dan diperdaya sehingga mudah bagi mereka menjatuhkan hukuman kepada kerajaan.
“Lihat perkara itu dengan benar bukan bergantung kepada khabar dan berita yang kadang-kala lebih berunsurkan fitnah…apa yang dilakukan oleh kerajaan BN tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan di negara lain,” katanya lagi.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Sindumin Ahmad Bujang, Pensyarah Fakulti Sains Sosail dan Kemanusian Dr. Khadijah Binti Alwi dan Dr.Mohd Suhaimi Mohamad, Ketua Pengarah Operasi Khidmat Masyarakat UKM Suhaidi Ishak, Samrah Awang Damit Wakil Guru Sipitang dan Wakil Majlis Belia Malaysia Othman