PERLEPASAN…Sapawi diperhatikan oleh Ahmad melepaskan konvoi merdeka ‘Janji Ditepati’ yang singgah sebentar di pekan Sipitang.
SERAH…Sapawi diperhatikan oleh Ahmad dan Nurul Akmalina menyerahkan jalur gemilang kepada Pengerusi KRT SFI Noorhayati Mustapa.
b)
MANTAP…Sapawi dan Ahmad merakamkan kenangan bersama peserta rombongan konvoi dan pemimpin masyarakat setempat.
SIPITANG: Dakwaan kononnya akan lebih ramai pemimpin parti komponen negeri akan menyertai pembangkang sengaja digempar-gempurkan bagi mengabui dan memperdayakan rakyat.
Ketua Biro Penerangan dan Publisti Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata dakwaan itu merupakan satu lagi pembohongan yang dilakukan oleh pembangkang.
Katanya ia juga adalah tindakan pembangkang yang mahu memperbodoh-bodohkan rakyat.
“Dakwaan itu bukan sahaja pembohongan nyata dari pembangkang tetapi juga memperlihatkan sikap sebenar pembangkang terhadap rakyat...pembangkang sejak dahulu lagi hanya mahu mempergunakan dan memperbodoh-bodohkan rakyat,” katanya pada majlis sambutan rombongan Kembara Merdeka 2012 Janji Ditepati peringkat daerah di sini kelmarin.
Sapawi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata pembangkang mahu rakyat mempercayai bahawa BN Sabah berada dalam situasi yang kucar-kacir dan tidak menentu.
Katanya dakwaan itu dibuat termasuklah mendakwa kononnya akan lebih ramai pemimpin parti komponen akan menyertai pembangkang.
“Rakyat tidak harus mudah terpedaya dengan apa yang didakwa oleh pembangkang...rakyat sudah tentu tahu menilai kepimpinan Perdana Menteri dan Ketua Menteri.
“BN Sabah bukan sahaja masih kuat dan mantap tetapi terus memperlihatkan pencapaian yang membanggakan dalam memastikan rakyat terus menikmati keharmonian dan juga kemakmuran,” katanya dan menambah tidak akan berlaku apa yang didakwa oleh pembangkang.
Menurutnya mereka yang menyertai pembangkang adalah mereka yang sebenarnya tidak lagi mendapat kepercayaan daripada rakyat dan anggota parti sendiri.
Katanya apa yang jelas mereka yang menyertai pembangkang itu terpedaya dengan janji-janji yang dilemparkan oleh individu yang bernama Anwar Ibrahim.
“Antara yang Anwar janjikan kepada mereka ialah menjadikan mereka sebagai calon pada pilihan raya akan datang...mereka ini sebenarnya sudah tidak mendapat kepercayaan daripada rakyat dan parti.
“Saya yakin rakyat dapat menilai dan pastinya tidak akan memberikan sokongan kepada mereka yang bersikap demikian,” katanya.
Beliau juga berkata rakyat sendiri dapat melihat mengenai kesungguhan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dalam memastikan Sabah terus membangun dan maju.
Katanya pembangunan dan kemajuan yang dilaksanakan memberikan nikmat yang dirasai oleh rakyat sendiri.
Malah katanya, pada peringkat pusat pula Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan pelbagai pembaharuan dan kesemuanya adalah untuk rakyat.
“Adalah bijak bagi kita untuk tidak menyokong mereka yang beralih kepada pembangkang kerana amat jelas dan nyata mereka yang menyertai pembangkang itu hanya memikirkan tentang diri sendiri dan bukannya untuk rakyat.
“Ini kerana BN telahpun membela nasib rakyat dan perjuangan untuk rakyat itu adalah ikhlas,” katanya lagi.
Sapawi sekali lagi menegaskan bahawa Umno Sipitang berdiri teguh di belakang Perdana Menteri dan juga Ketua Menteri.
Katanya pendirian Umno Sipitang amat jelas bahawa kedua-dua pemimpin tersebut akan terus diberikan sokongan padu.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Sindumin Ahmad Bujang, Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat, Pengarah Jabatan Perpaduan Sabah Nurul Akmalina, Ketua Daerah Sipitang Arif Ismail, Penolong Pegawai Daerah Sipitang Matlin Dullah, Pemimpin kemajuan Rakyat Sindumin Abdul rahman Mohd Noh dan Pegawai Perpaduan Sipitang Amran Sopoh