SUMBANGAN…Sapawi dan Kamarlin menyampaikan sumbangan satu gulung tikar sembahyang, Dua set khemah dan kerusi kepada Katim Narudin Pengerusi Masjid Kg. Gumarit.
TAKWA…Sebahagian penduduk kampung yang menghadiri majlis tersebut.
BEAUFORT: Barisan Nasional akan memastikan perpaduan dan persefahaman rakyart pelbagai kaum negara ini bukan sahaja dipertahankan tetapi akan terus terpelihara.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata usaha akan terus dilakukan meskipun terdapat usaha untuk memecahbelahkan rakyat seperti yang dilakukan oleh pembangkang.
Beliau berkata pembangkang tidak pernah kisah atau peduli mengenai pentingnya perpaduan dan persefahaman rakyat "kerana pembangkang lebih pentingkan diri sendiri dan individu tertentu."
"Rakyat sudah tentu dapat membuat keputusan yang bijak dalam hal ini...jangan kita mudah dipengaruhi dan diperdaya sehingga sanggup merosakkan perpaduan dan juga persefahaman...sekali kita silap kesannya amat mendalam dan bukan mudah untuk memperbaikinya," katanya selepas menunaikan solat sunat Terawih di masjid Kampung Gumarit dekat sini kelmarin.
Sehubungan dengan itu Sapawi berharap agar umat Islam menjadikan Ramadan sebagai landasan ke arah memperkukuhkan dan mempermantapkan persefahaman serta perpaduan bukan sahaja di kalangan umat Islam sendiri tetapi juga di kalangan mereka yang bukan beragama Islam.
"Ketepikan sikap buruk sangka, berdendam dan suka bertelagah...sikap inilah yang membuatkan kita mudah lemah dan mudah dipergunakan oleh pihak-pihal tertentu," katanya.
Menurutnya sebarang perbalahan harus tidak berpanjangan sebaliknya diselesaikan dengan baik dan penuh semangat kekeluargaan.
Katanya umat Islam memainkan peranan penting dalam memastikan perpaduan dan persefahaman antara kaum di negara ini dipertahankan dan terus dipelihara.
"Semangat inilah yang harus ada dalam diri kita kerana negara ini adalah negara kita yang meletakkan Islam itu sebagai agama rasmi," katanya dan menambah dalam memastikan persefahaman dan perpaduan itu berterusan, penganut agama lain perlulah juga dihormati.
Di majlis tersebut Sapawi juga telah mengumunkan khabar gembira kepada penduduk kampung bahawa kerajaan telah meluluskan pembinaan sebuah masjid baru.