CERIA...Sapawi merakamkan kenangan bersama Timbalan Pengarah Kemas Malaysia
Hassan Manap (tengah) dan Pengarah Kemas Sabah Zamri Mohamad di majlis
tersebut.
MESRA...Sapawi bersama Kamarlin dan Zamri sedang berbual dan sambil
menikmati juadah raya di majlis tersebut.
SOKONGAN...Sebahagian orang ramai yang menghadiri majlis tersebut.
SIPITANG: Perancangan dan usaha kerajaan
tidak akan sampai kepada masyarakat jika sekiranya jabatan atau agensinya tidak
melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata perancangan dan usaha kerajaan
perlu disampaikan kepada rakyat dengan fakta yang tepat dan benar.
“Setiap kakitangan jabatan atau agensi Kerajaan Barisan Nasional memikul
tanggungjawab ini dan adalah diharapkan ianya dilaksanakan dengan amanah,”
katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Kemajuan
Masyarakat (Kemas) Sipitang di sini kelmarin.
Hadir
sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan kamarlin Ombi, Timbalan
Ketua Pengarah Kemas Malaysia Hassan Manap, Pengarah Kemas sabah Zamri Mohamad,
Penolong Pengarah Perhubungan Kemas Sabah Kudin Bolongan, Pegawai Kemas
Sipitang Hasbullah Hamid dan Penyelia Keas Parlimen Sipitang Aminah Ghafar.
Sapawi berkata peranan itu bukan hanya dipegang oleh pemimpin masyarakat atau
pemimpin setempat tetapi juga kakitangan setiap jabatan dan agensi.
Katanya rakyat tidak harus dibiarkan menerima maklumat yang salah mengenai
perancangan dan usaha yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan.
Menurutnya pembangkang pada ketika ini giat menghebohkan dakyah dan fitnah
kepada rakyat khususnya pada peringkat akar umbi.
Beliau berkata rakyat memerlukan fakta yang benar “dan disebabkan ketiadaan
maklumat yang tepat, segelintir rakyat mempercayai pembohongan yang
dihebah-hebohkan oleh pembangkang.”
“Setiap kakitangan jabatan dan agensi kerajaan tidak harus berdiam diri dan
mengambil sikap tunggu dan lihat tanpa melakukan apa-apa tindakan sedangkan
mereka memikul tanggungjawab bagi memberikan maklumat yang tepat berhubungan
sesuatu isu yang dilontarkan oleh pembangkang.
“Kita tidak mahu rakyat diperalatan dan dipergunakan oleh pembangkang, kita
harus memberikan atau menyalurkan maklumat yang tepat dan benar,” katanya lagi.
Sehubungan dengan itu Sapawi berkata kakitangan Kemas Sipitang perlu memainkan
peranan yang diharapkan oleh kerajaan.
Katanya sebagai pengantara kerajaan kepada rakyat, segala maklumat perlu
disalurkan dengan fakta yang tepat dan benar.
Menurutnya masalah yang dihadapi oleh rakyat juga perlu diberikan perhatian dan
ianya hendaklah disalurkan kepada kerajaan
“Jangan pendamkan sahaja masalah yang dihadapi oleh rakyat sebaliknya kemukakan
kepada kerajaan menerusi prosedur yang ditetapkan...amanahlah dalam
mengemukakan laporan agar tindakan dapat diambil dan masalah rakyat dapat
diatasi,” katanya lagi