IKHLAS...Sapawi menymapaikan sumbangan derma kewangan kepada salah seorang warga emas di majlis tersebut.
PRIHATIN...Sapawi menyampaikan sumbangan kewangan kepada salah seorang kanak-kanak yang layak menerima dimajlis tersebut.
SOKONGAN PADU...Sebahagian penduduk kampung yang menghadiri majlis tersebut.
SIPITANG: Rakyat wajar bersyukur dan sentiasa menghargai sumbangan pejuang kemerdekaan negara ini.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata kemerdekaan itu dicapai menerusi kebijaksanaan mereka sehingga tiada pertumpahan darah berlaku.
“Pejuang kemerdekaan itu terdiri daripada tokoh politik dan juga tokoh agama dan kebijaksanaan itu terus diperlihatkan oleh barisan kepimpinan negara ketika ini,” katanya pada sambutan Aidilfitri dan Hari Malaysia bersama pemimpin di Kampung Banting dekat sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan Ahmad Bujang, AJK Umno Sipitang Chemat Latip, Ketua kampung Seputol Haris, Ketua Kampung Banting Hakim dan Pengerusi Penganjur Arifin Kahan.
Sapawi berkata kebijaksanaan itu juga membolehkan rakyat terus menikmati keharmonian serta kemakmuran.
Katanya negara ketika ini terus memiliki pemimpin yang bijaksana iaitu pada peringkat nasional ianya diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pada peringkat negeri diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.
Menurutnya kedua-dua pemimpin tersebut akan memastikan kemerdekaan negara tidak akan tergugat.
“Dalam hal ini sudah tentu sokongan dan dokongan daripada rakyat diharapkan...caranya adalah dengan menolak segala anasir-anasir yang cuba dibawa oleh pihak tertentu yang menggugat kemerdekaan itu,” katanya dan menambah rakyat juga perlu mengetahui dan memahami sejarah pejuang kemerdekaan negara ini.
Beliau memberitahu kebijaksanaan yang dimiliki oleh para pejuang telah diwarisi oleh barisan kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional ketika ini.
Katanya kebijaksanaan itu diperlihatkan apabila kepimpinan BN mengutamakan saol persefahaman dan perpaduan kaum.
“Apa yang dicapai oleh negara ini amat berbeza dengan apa yang berlaku di beberapa buah negara lain...kemerdekaan negara perlu untuk dipertahankan,” katanya dan menambaj kebijaksanaan pemimpin BN turut dapat dilihat menerusi amalan demokrasi negara ini.
Menurutnya amalan itu terus dilaksanakan dan rakyat pelbagai kaum terus dibela dan diperjuangkan tanpa ada yang disisihkan.
Mengenai penerbitan filem yang menghina Nabi Muhammad SAW, Sapawi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata ia merupakan tindakan provokasi kepada umat Islam.
Katanya filem picisan itu bertujuan untuk memberikan gambar bahawa penganut agama Islam adalah pengganas dan sukakan keganasan.
“Kita bersyukur bantahan yang dilakukan oleh umat Islam negara ini tidak mewujudkan sebarang keganasan dan ini membuktikan bahawa Islam turut mengutamakan keharmonian serta keamanan,” katanya lagi.
Sehubungan dengan itu Sapawi berkata rakyat negara ini perlu menolak cubaan pihak tertentu yang mahu mewujudkan keganasan di negara ini.
Katanya ia termasuklah usaha menghidupkan semangat perkauman di kalangan rakyat dan berusaha untuk pertelagahan kaum.
“Kita harus menolak usaha itu dan caranya adalah mengekalkan Kerajaan Barisan Nasional,” katanya dan menambah ketika ini sudah jelas kepada rakyat bahawa hanya BN yang mengutamakan perpaduan dan persefahaman antara kaum di negara ini.
Katanya ia berbeza dengan pembangkang yang tidak mengutamakan soal perpaduan dan persefahaman kaum.
Dalam pada itu beliau memberitahu penduduk Kampung Banting turut bertuah kepada kerajaan telah mewujudkan Mini Estet Sejahtera di kampung tersebut.
Seramai 83 peserta akan dipilih menerusi temu duga untuk menjayakan program tersebut di mana peserta yang layak akan menerima 10 hektar keluasan tanah yang ditanam dengan kelapa sawit dan diusahakan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah.