Monday, September 10, 2012

Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Kedayan Sabah

SOKONGAN PADU…Sebahagian ribuan yang hadir pada majlis tersebut.
DUIT RAYA…Sapawi bersama Ahmad dan Hafez menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir di majlis tersebut.
BERTUAH…Ketua Pemuda Umno Sipitang Yamani Hafez Musa menyampaikan hadiah kepada pemenang di majlis tersebut.
TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Ahmad menyampaikan hadiah kepada pengunjung bertuah di majlis tersebut.

INTIM…Sapawi berpelukan dengan salah seorang pengunjung di majlis tersebut.

SIPITANG: Barisan Nasional (BN) tidak pernah sama sekali membohongi rakyat negara ini sebaliknya setiap janji yang diluahkan pasti sahaja akan ditunai.

Rakyat sendiri telah merasa apa yang telah diberikan oleh BN sejak dahulu menerajui kerajaan negara dan negeri ini “dan apa yang dinikmati ketika ini tidak mungkin dapat dirasai jika rakyat memilih pembangkang.” Kata Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad.

Beliau yang ditemui pada majlis rumah terbuka Persatuan Kedayan Sabah di Pekan Sindumin kelmarin berkata amat jelas pembangkang tidak mengutamakan soal perpaduan dan persefahaman kaum.

Katanya ia jelas kerana pembangkang bukan sahaja suka menabur fitnah dan membenih pembohongan kepada rakyat tetapi juga sanggup melaga-lagakan rakyat dengan membangkit isu agama dan juga isu kaum.

“Rakyat sudah tentu tahu bahawa perpaduan dan persefahaman kaum adalah asas kepada keharmonian serta kemakmuran yang dinikmati tetapi semua ini tidak penting kepada pembangkang.

“Sudah jelas pembangkang lebih suka melaga-lagakan rakyat, membangkitkan pelbagai isu perkauman dan juga agama...pembangkang lebih pentingkan perjuangan individu daripada rakyat,” katanya dan menambah hanya BN sahaja satu-satunya parti yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai paling utama.

Sapawi yang juga Penaung Persatuan Kedayan Sabah berkata rakyat boleh melihat apa yang dilakukan oleh BN dan kesemuanya tetap meletakkan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya semua rakyat menikmati hasil yang dilakukan oleh BN tanpa adanya tersisih atau diketepikan.

Menurutnya keharmonian tidak mungkin dapat dirasai termasuklah menyambut perayaan keagamaan jika rakyat memilih pembangkang.

“Kehidupan pasti tidak akan selesa dan apa yang diraikan seperti majlis rumah terbuka juga tidak akan dapat dinikmati dengan baik...rakyat boleh mengagak perkara ini kerana pembangkang amat suka membangkitkan isu-isu agama dan kaum,” katanya dan menambah pembangkang suka membangkitkan rasa benci rakyat sesama sendiri dan tidak memperdulikan rasa hormat menghormati.

Sehubungan dengan itu Sapawi berharap agar rakyat terus mengekalkan BN sebagai peneraju kerajaan tanpa teragak-agak atau was-was.

Katanya rakyat sendiri sudah jelas melihat apa yang dilakukan oleh BN dan sudahpun merasai apa yang diperjuangkan oleh BN.

“Usah buat perubahan yang memberi kesan negatif bukan sahaja untuk hari esok tetapi juga masa depan generasi muda...kepercayaan dan keyakinan rakyat harus tidak berubah kerana perjuangan BN juga tidak akan berubah...semuanya adalah untuk rakyat,” katanya lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut Presiden Persatuan Kedayan Sabah merangkap Adun Sindumin Ahmad Bujang, Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat, Ketua Pemuda Umno Sipitang Yamani Hafez Musa.


Share |