BEAUFORT: Persefahaman dan kerjasama antara parti komponen dapat meningkatkan lagi keyakinan serta kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional.
Pengerusi BN Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata persefahaman dan kerjasama yang jitu telah mewujudkan kestabilan politik yang seterusnya membolehkan BN merangka program pembangunan dan kemajuan untuk rakyat.
"Umno adalah tunggak Kerajaan BN tetapi pada masa yang sama peranan parti komponen tetap penting...perjuangan untuk rakyat," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Lumadan dan Kawasan Rukun Tetangga Kampung Suasa dekat sini kelmarin.
Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang memberitahu Umno bahagian sentiasa memberi sokongan kepada parti komponen dan sentiasa bekerjasama.
Menurutnya majlis rumah terbuka seumpama ini dapat mengeratkan jalinan kerjasama dan persefahaman antara parti komponen dan seterusnya meningkatkan lagi keyakinan serta kepercayaan rakyat.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan kamarlin Ombi, Pegawai Perpaduan Beaufort Awang Anak Abdul Sani, Ketua Bahagian PBS Lumadan Ruslan Muharam, Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang Matbali Musah dan Pemaju Mukim Lumadan Bilie Untol.