Monday, September 10, 2012

Solat Hajat Perdana Pelajar UPSR. PMR, SPM & STPM Peringkat Daerah Sipitang

DOA…Sebahagian ibubapa dan pelajar yang sedang mengaminkan doa di majlis solat hajat perdana tersebut.
HAJAT…Iman Daerah Sipitang Rafahi Salleh sedang membacakan doa Solat Hajat di majlis tersebut.
USAHA…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin dan Ahmad menyampaikan botol minuman yang di bacakan surah Yassin untuk diedarkan kepada pelajar kepada Yang Dipertua Majlis Guru Besar Sipitang Asli Mokhsin.

BACAAN YASIN…Sebahagian ribuan pelajar Sipitang yang bakal menduduki peperiksaan sedang membaca surah Yassin bagi memohon keberkataan di majlis tersebut.

SIPITANG: Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad melahirkan harapan agar pelajar di daerah sini akan mampu mencatatkan kecemerlangan dalam peperiksaan yang dihadapi.

Beliau berkata selain menanamkan tekad dan kesungguhan untuk mencapai kejayaan, memohon atau berdoa bagi memperolehi kejayaan serta kecemerlangan juga penting.

“Usaha yang penuh kesungguhan sememangnya dituntut tetapi jangan lupa untuk berdoa bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan pada peperiksaan yang akan dihadapi,” katanya pada majlis solat hajat perdana pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM peringkat daerah di Masjid Haji Hashim sini kelmarin.

Menurutnya selain berdoa kepada Allah, pelajar juga perlulah memohon restu daripada ibu bapa dan juga guru.

Katanya restu daripada ibu bapa dan guru yang memberikan bimbingan juga penting dalam memberikan sokongan serta dorongan kepada pelajar untuk mencatatkan kejayaan serta kecemerlangan.

“Kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai dalam peperiksaan merupakan hadiah terbaik kepada ibu bapa dan juga guru,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun mengingatkan golongan pelajar agar tidak lalai sebaliknya terus menanamkan semangat tinggi untuk kejayaan dan kecemerlangan.

Sambil menyatakan sokongan kepada usaha yang dilakukan oleh pelajar, Sapawi memberitahu mana-mana pelajar yang berjaya mencatatkan kejayaan dan kecemerlangan membanggakan akan menerima ganjaran daripada Parlimen Sipitang.

Katanya ganjaran atau hadiah itu adalah sebagai menghargai usaha serta kesungguhan mereka untuk berjaya dalam pelajaran.

Majlis yang dihadiri oleh lebih 3,000 pelajar dan juga ibubapa turut dihadiri oleh Adun Lumadan Kamarlin Ombi, Adun Sindumin Ahmad Bujang, Wakil Pegawai Pendidikan Sipitang Awang Damit Ini, Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin Abdul Rahman Mohd Noh dan Iman Daerah Sipitang Rafahi Idris,



Share |