DOA KESYUKURAN…Sapawi
dan Kamarlin sambil diperhatikan oleh Ketua Daerah Mengundi Lupak Matsaidi
Manan sedang mengaminkan doa kesyukuran yang dibacakan oleh Iman Daerah
Beaufort Mat Jalin Saramali di majlis
tersebut.
IKHLAS…Sapawi dan
Kamarlin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga yang layak menerima
di majlis tersebut.
SUMBANGAN…Sapawi dan
Kamarlin menyampaikan sumbangan peralatan dapur kepada Masjid Kampung Batandok,
Lubak di majlis tersebut.
MESRA…Sapawi mengangkat
tangan sambil melontarkan senyuman ketika di majlis tersebut.
CERIA Sapawi dan
Kamarlin bersama Matasaidi, Jamali dan Muanam serta jemputan dan hadirin yang
hadir pada majlis tersebut.
BEAUFORT: Keperluan dan kepentingan rakyat tidak pernah diabaikan
oleh Barisan Nasional (BN) dan ianya sentiasa dipertingkatkan dari masa ke
semasa.
Malah hasil daripada usaha yang dilakukan oleh
BN dipastikan juga dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa adanya yang
diketepikan atau ditinggalkan, kata Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi
Ahmad.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis bersama
pemimpin dan majlis kesyukuran pengurniaan pingat PGDK yang membawa gelaran
datuk yang dikurniakan kepada Datuk Kamarlin Ombi, wakil rakyat Lumadan sempena
Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri di Kampung Betandok Lubak
dekat sini kelmarin, Sapawi berkata BN bukan seperti pembangkang yang bukan
sahaja menabur pembohongan tetapi berselindung daripada perjuangan yang
sebenar.
"Kepada rakyat pembangkang mendakwa bahawa
mereka berjuang untuk rakyat tetapi pada hakikatnya mereka berjuang untuk
memenuhi kehendak dan keinginan seseorang atau untuk diri mereka sendiri.
"Kita boleh lihat dengan jelas, apabila
pembangkang suka menggunakan isu perkauman...mereka mahu memecahbelahkan
rakyat," katanya lagi.
Beliau berkata pemimpin pembangkang ketika ini
adalah mereka yang pernah berjawatan tinggi dalam Kerajaan BN tetapi rakyat
boleh melihat apa yang mereka lakukan pada waktu itu.
Katanya untuk datang ke kampung-kampung di
negeri ini tidak pernah terlintas pada hati mereka apatah lagi mahu membantu
rakyat khususnya di luar bandar di negeri ini.
"Mereka berselindung daripada usaha yang
dilakukan oleh BN dan kini mereka pula mendakwa bahawa BN tidak kisahkan
rakyat, tidak pedulikan masalah rakyat sedangkan sejak dahulu hingga sekarang,
rakyat tetap paling utama dalam perjuangan BN," katanya dan menambah BN
juga tidak mempergunakan dan menipu rakyat sebaliknya BN berusaha mengangkat
dan membantu rakyat.
Beliau berkata Kerajaan BN yang diterajui oleh
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada peringkat persekutuan dan Ketua
Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman pada peringkat negeri sentiasa
mendengar masalah yang dihadapi oleh rakyat.
Katanya denyut nadi rakyat sentiasa diberikan
perhatian oleh BN "dan kita sentiasa berusaha memastikan setiap seinci
masalah rakyat dapat dibantu diatasi dan diselesaikan."
Pada majlis itu Sapawi yang juga Ahli Parlimen
Sipitang berkata rakyat harus memahami perjuangan sebenar pembangkang yang
lebih mengutamakan kepentingan diri sendiri.
Malah katanya, rakyat juga perlu sedar bahawa
pembangkang hanya mahu mempergunakan dan menipu rakyat untuk memenuhi kehendak
dan keinginan mereka.
"Usah mudah terpengaruh dan terpedaya
dengan pembangkang...mereka ini hanya menabur pembohongan dan mahu menipu
rakyat...rakyat yang bijak pastinya akan menolak pembangkang dan mengekalkan
BN," katanya lagi.
Di majlis itu juga Sapawi dan Kamarlin telah menyampaikan
sumbangan kepada 63 orang warga emas dan peralatan dapur nagi masjid Kampung
Betandok serta sumbangan RM1,000 kepada setiap persatuan Marhaban, Nasyid dan
Kompang.
Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi Penganjur
Jamali Moksin dan Ketua Daerah Mengundi Lupak Matsaidi Manan dan Ketua Daerah Mengundi Lumadan Muanam
Mujiarto.