SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Latip dan Sharif Endra menyampaikan
replika cek RM5 ribu kepada Guru Besar SK Luagan, Beaufort Ladis Lazim
bagi peruntukan sekolah rakan alam sekitar di majlis tersebut.
SEMBOLIK…Sapawi diperhatikan oleh Latip dan
Sharif Endra menandatangi plak tanda sembolik majlis tersebut.
TAHNIAH…Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat
diperhatikan oleh Pegawai Ekskuatif Majlis Daerah Sipitang Shrif Endra menyampaikan
sijil perlantikan duta anti kutu sampah
MESRA…Sapawi diiringi oleh Pegawai Daerah
Sipitang Latip Amat bersalaman dengan tetamu yang hadir di majlis tersebut.
IKRAR…Seramai 20 pelajar melafazkan ikrar
sebagai duta anti kutu sampah daerah Sipitang.
SIPITANG: `Jangan biarkan pujian sebagai melalaikan sebaliknya
jadikan pujian itu sebagai dorongan untuk lebih Berjaya.’
Peringatan itu diluahkan oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad kepada
pihak berkuasa tempatan daerah.
Katanya pujian yang diberikan diharap dapat menguatkan lagi keazaman dan
komitmen PBT Sipitang untuk terus cemerlang khususnya dalam memastikan Sipitang
terus bersih.
“Tahniah kepada PBT kerana selalu mendapat pujian khususnya daripada orang luar
yang berkunjung ke daerah sini dan kita berharap pujian itu tidak akan
melalaikan sebaliknya menguatkan lagi semangat dan keazaman,” katanya
pada program ahli parlimen bersama masyarakat sempena bulan bahasa kebangsaan
tahun 2012 peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kempen Kutu Sampah di
sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Wakil
Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Isidore
Ignitius Simin, Pegawai daerah Sipitang Latip Amat, Pegawai Ekskuatif Majlis
Daerah Sipitang Sharif Endra Bin Abdul Hamid,
Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin Abdul rahman Mohd Noh dan Penceramah Jemputan
Datuk Dr. Chua Kim Hing.
Sapawi berkata kebersihan sukan sesebuah daerah bukan hanya melambangkan
kehidupan masyarakat tetapi turut menggambarkan terhadap peranan dan
tanggungjawab PBT sendiri khususnya dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Katanya PBT memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat menikmati
kehidupan yang selesa, harmoni dan bersih.
“Memang tanggungjawab kebersihan bukan hanya terletak kepada PBT tetapi juga
kesemua pihak. Kepada semua masyarakat tetapi teladannya perlu diperlihatkan
oleh PBT terlebih dahulu,” katanya.
Menurutnya sudah tentu tidak bermakna jika masyarakat melihat PBT gagal
melaksanakan tugas khususnya dalam kebersihan jika mereka sendiri tidak
melaksanakan dengan baik.
Sebagai contoh, katanya, jika sampah sarap yang seharusnya dikutip mengikut
jadual tidak dilakukan dengan baik dan teratur.
Beliau berkata jika perkara itu berlaku, ia tidak memberikan sebarang makna
dalam memberikan kesedaran betapa pentingnya kebersihan kepada masyarakat.
“Maka membazirlah papan-papan iklan yang kita pacak di kawasan pekan malah
kempen kebersihan juga hanya membuang masa dan membazirkan wang.
“Sebagai pelaksana kita harus memperlihatkan teladan yang baik agar ia memberi
keyakinan kepada masyarakat untuk turut sama menjayakan kempen dan program
kebersihan,” katanya lagi.
Menurutnya kebersihan yang dapat dilaksanakan turut membantu usaha menjadikan
Sipitang sebagai daerah yang membangun dan maju.
Katanya potensi Sipitang untuk membangun dan maju sudah kelihatan ketika ini
dengan pelbagai projek telah dilaksanakan.
Sapawi berkata kewujudan Taman Perindustrian Minyak dan Gas (SOGIP), SAMUR,
Kompleks Polis Sipitang yang bernilai 30-juta ringgit dan hotel bertaraf
bintang mampu melonjakkan lagi pembangunan dan potensi Sipitang menjadi antara
daerah yang pesat membangun.
Kedudukan Sipitang yang terletak dalam Koridor Pembangunan Sabah juga dapat
menonjolkan lagi potensi ekonomi daerah itu yang bukan sahaja menjadi laluan
utama bagi kawasan pertumbuhan Asean Timur (BIMP-Eaga) khususnya Brunei
Darussalam potensi tarikan pelaburan bagi industri minyak dan gas negara,
katanya lagi.
Mengenai bahasa, Sapawi memberitahu kerajaan tidak melarang penggunaan bahasa
ibunda.
Bagaimanapun, beliau berkata Bahasa Melayu tetap menjadi bahasa rasmi negara
yang ternyata telah dibuktikan sebagai bahasa perhubungan rakyat negara ini.
“Bahasa Melayu menjadi bahasa penghubung antara rakyat pelbagai kaum dan bahasa
inilah juga yang dapat mengeratkan serta memperkukuhkan persefahaman dan
perpaduan kaum,” katanya.
Pada majlis tersebut Sapawi turut
menyampaikan cek berjumlah RM5 ribu setiap satu bagi lima buah sekolah yang
terpilih menyertai Program Alam Sekitar.
Kolej Vokasional Beaufort, SM Padang Berampah, SK Luagan, Beaufort
dan SK Mesapol merupakan penerima sumbangan tersebut.