Sunday, December 9, 2012
Elaun Sara Hidup Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Padas (PENATAP)
BANTUAN…Sapawi diperhatikan oleh
Timbalan Pengarah LKIM Sabah Mohd Jamil
Abdullah (kiri) dan Pengerusi PENATAP Masri
menyampaikan bantuan elaun sara hidup nelayan RM200 kepada salah seorang
ahli persatuan nelayan kawasan teluk padas di majlis tersebut.
WESTON (Beaufort): Golongan nelayan
perlu tidak mengsia-siakan segala peluang yang disediakan oleh kerajaan.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata segala peluang tidak
akan bermakna jika golongan nelayan masih mengamalkan sikap tidak peduli.
“Dalam menjadi negara ini maju dan membangun, Kerajaan Barisan Nasional (BN)
tidak meminggirkan golongan nelayan,,,golongan inilah yang juga diberikan
perhatian oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian
Elaun Sara Hidup Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Teluk Padas (PENATAP) di sini
kelmarin.
Sapawi memberitahu golongan itu bukan sahaja berpeluang menikmati elaun sara
hidup sebaliknya turut menikmati peluang dalam bentuk pinjaman.
Katanya peluang itu diperkenalkan kerana kerajaan mahu golongan nelayan negara
ini bukan sahaja mampu menikmati ekonomi yang baik tetapi turut mencapai
kemajuan.
Seramai 419 nelayan PNK Teluk Padas menerima elaun sara hidup berjumlah RM200
setiap seorang.
Sapawi memberitahu bantuan yang diberikan oleh kerajaan itu bukan sekadar untuk
mengubah nasib golongan tersebut tetapi memperlihatkan bahawa kerajaan amat
menghargai sumbangan golongan nelayan dalam membantu memaju dan membangunkan negara.
Menurutnya kerajaan sentiasa berharap bantuan yang diberikan akan membantu
golongan nelayan dan peluang yang disediakan dapat dipergunakan dengan
sebaik-baiknya.
Katanya kerajaan mahu golongan nelayan di negara ini menjadi golongan yang
berdaya saing, mampu mencapai kemajuan dan turut mencapai pembangunan.
Bagaimanapun Sapawi berkata golongan itu tidak akan mampu mencapai tahap yang
diharapkan jika masih mengamalkan sikap tidak peduli dan tidak kisah.
Menurutnya sikap negatif itulah yang membuatkan golongan nelayan terus mundur
dan seringkali dipergunakan oleh pihak tertentu terutamanya pembangkang.
“Kerajaan BN tidak mahu golongan nelayan dipergunakan dan diperbodohkan oleh
pembangkang kerana kerajaan menghargai sumbangan yang diberikan oleh nelayan.
“Golongan nelayan merupakan aset penting dalam memastikan keperluan makanan
laut terus dapat dinikmati oleh rakyat negara ini,” katanya dan menambah
kerajaan mahu agar golongan nelayan turut menjadi golongan yang maju dan sesuai
dengan peranannya dalam memenuhi permintaan makanan laut.
Dalam pada itu Sapawi melahirkan harapan agar PNK kawasan itu akan turut
memainkan peranan bagi memastikan golongan nelayan tidak terpinggir daripada
menikmati kemakmuran dan keharmonian yang dilahirkan oleh kerajaan.
Katanya PNK perlulah bertindak bijak dan sentiasa memastikan golongan nelayan
terus dibela.
“Kita berharap PNK dapat memainkan peranan dan berusaha memastikan setiap
nelayan menjadi ahli mereka...perkasakan PNK untuk kepentingan ahli dan setiap
masalah hendaklah diselesaikan dengan semangat kekeluargaan,” katanya lagi.