Thursday, July 26, 2007

WAWANCARA DENGAN RTM


WAWANCARA...Sapawi sedang di wawancara oleh D.J Adzri Abdullah ketika program YB Bersama Anda di RTM Kota Kinabalu kelmarin


KOTA KINABALU: Pembangunan yang rancak dan berterusan bakal mengubah wajah Sipitang, kata Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad.


Pembantu Menteri Kewangan itu memberitahu pembangunan infrastruktur termasuklah mempertingkatkan kemudahan prasarana di daerah itu telah, sedang dan akan dilaksanakan.


“Kita berusaha untuk membangun dan memajukan Sipitang…pembangunan itu termasuklah penumpuan terhadap infrastruktur, pendidikan dan juga budaya,” katanya ketika diwawancara oleh Radio Malaysia Kota Kinabalu di sini kelmarin.


Sapawi yang juga wakil rakyat Sindumin memberitahu kehangatan terhadap pembangunan dan kemajuan itu mula dirasai oleh rakyat Sipitang.


Beliau berkata penyiapan jalan raya antara Sipitang-Beaufort, Sipitang-Tenom selain lebuh raya Trans-Borneo, membuatkan daerah tersebut menjadi tumpuan.
Katanya lebuh raya Trans-Borneo membolehkan rakyat dari Sarawak dan Brunei datang menggunakan kenderaan ke negeri ini.


“Sipitang menjadi daerah pertama yang mereka kunjungi dan ini merupakan salah satu asas kepada kita untuk berusaha membangun dan memajukan Sipitang.


“Bagaimanapun pembangunan dan kemajuan itu tetap memberi keutamaan kepada rakyat,” katanya dan memberitahu penekanan terhadap pembangunan pendidikan tetap diberi keutamaan ke arah usaha melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


Menurutnya masalah bekalan air di daerah itu juga sedang diusahakan untuk diatasi dan peruntukan besar yang diluluskan oleh kerajaan untuk pembinaan loji air mampu membantu mengatasi masalah tersebut.


Sapawi juga memberitahu kerajaan turut meluluskan pembinaan Kompleks Sukan Sipitang sebagai langkah mempergiatkan kegiatan sukan yang memfokuskan kepada generasi muda.


“Perubahan Sipitang akan lebih dirasai apabila Ketua Menteri Datuk Musa Haji Aman melancarkan tapak pembinaan Esplande Sipitang yang akan menjadi mercu tanda kepada daerah tersebut,” katanya dan menambah perancangan pembangunan serta kemajuan itu dilaksanakan dengan hasil sokongan daripada rakyat.


Katanya rakyat memberikan sokongan kepada usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan.


Selain itu, Sapawi juga memberitahu usaha menjadikan Sipitang sebagai sebuah daerah yang berpotensi dalam pelancongan turut diberi penekanan.


Menurutnya potensi pelancongan itu dipertonjolkan menerusi kebudayaan suku kaum.


“Sipitang adalah antara daerah yang mempunyai pelbagai suku kaum dan kita menggunakan kebudayaan suku kaum itu untuk menarik perhatian dan program ini dikenali sebagai Featival Gasing dan Tamu Sipitang (Gata) yang diadakan dua tahun sekali.


“Menerusi Gata, rakyat berpeluang untuk menambahkan lagi sumber pendapatan menerusi penjualan buah-buahan, makanan dan sebagainya,” katanya lagi.


Katanya Gata yang bakal diadakan awal bulan depan iaitu pada 3-5 Ogos akan menyelitkan pelbagai acara.


Menurutnya pada ketika ini kehangatan sambutan Gata itu telah dirasai menerusi penganjuran Liga Bola Sepak Piala Datuk Sapawi.


Sapawi juga memberitahu tumpuan untuk mendekati rakyat sebagai usaha mengetahui masalah mereka turut diberikan penekanan.


Katanya langkah itu dilakukan menerusi acara pemimpin bersama rakyat di mana acara itu dipergunakan untuk mendekati rakyat pada peringkat akar umbi dan mengetahui masalah yang dihadapi.
Share |