Friday, August 3, 2007

Bintang GATA 2007


PELAWA…Pengerusi Penganjur Bintang GATA 2007 Ir Mustapha Kassim sedang mempamerkan poster GATA Sipitang 2007.

SIPITANG: Sambutan terhadap Bintang GATA 2007 nyata membanggakan tetapi penyertaan masih lagi dibuka.

Pengerusi penganjur Ir Mustapha Kassim berkata pihaknya menjangkakan penyertaan pada kali ini mampu mengatasi penganjuran dua tahun lalu apabila hadiah wang tunai bagi peserta solo telah di tambah..

“Berdasarkan kepada bilangan yang mengambil borang, kami yakin sambutan pada kali ini tentunya lebih ramai,” katanya di sini kelmarin.

Bagaimanapun beliau berkata penyertaan Bintang Gata 2007 sempena Festival Gasing dan Tamu Besar (GATA) Sipitang pada 3-5 Ogos nanti masih lagi dibuka.

Menurutnya peserta Bintang Gata terlebih dahulu perlu menjalani proses saringan pada 1 Ogos jam 10 pagi di Dewan Serbaguna Sipitang.

Peringkat akhir pula diadakan pada 4 Ogos di mana peserta bersaing di Pentas Utama Gata 2007, kata Mustapha.

Bintang Gata 2007 akan mempertandingan dua kategori iaitu solo dan juga berkumpulan.
Bagi juara kategori akan menerima RM1,000 dengan tempat kedua RM750 dan ketiga akan menerima RM500.

Manakala bagi kategori berkumpulan pula, juara akan menerima RM1,200, kedua RM1000 dan ketiga RM800.

“Mereka yang berminat dan belum lagi mengambil borang penyertaan, masih lagi boleh mendapatkan borang.

“Bagaimanapun borang itu hendaklah dikembalikan pada atau sebelum 30 Julai ini,” kata Mustapha dan menambah mereka yang lewat menghantar borang tidak akan dilayan.

Ir Mustapha yang juga Bendahari Umno Sipitang menasihat agar mereka yang mahu menyertai Bintang Gata itu perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Antaranya ialah peserta solo perlu berusia 18 hingga 27 tahun manakala berkumpulan tidak kurang tiga orang dan tidak lebih tujuh orang dengan semuanya haruslah berusia 18 tahun ke atas.

Orang ramai yang belum mendapatkan borang bolehlah mengambilnya di Pejabat Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Sindumin di talian 087-822900 atau dicetak melalui laman Web GATA Sipitang di www.gatasipitang.gov.my dan borang penyertaan juga hendaklah dikembalikan kepada pejabat tersebut.
Share |