Friday, August 3, 2007

Sapawi-Serah Bantuan Pelajar

BANTUAN…Sapawi menyerahkan bantuan KWAPM kepada salah seorang pelajar sambil diperhatikan oleh guru besar SK Ulu Sipitang, Ramli Awang Said (kanan)


SIPITANG: Penglibatan pemimpin masyarakat dan ibu bapa mampu membantu sesebuah sekolah mencapai kejayaan dan kecemerlangan.

Pembantu Menteri Kewangan Datuk Sapawi Ahmad berkata kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah tidak harus hanya disandarkan kepada pihak guru.

"Penglibatan pemimpin masyarakat dan ibu bapa seperti memberi sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program pihak sekolah sebenarnya memberi dorongan kepada pelajar bagi mencapai kecemerlangan dalam pendidikan," katanya pada majlis penyampaian Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) Sekolah Kebangsaan Ulu Sipitang dekat sini kelmarin.

Beliau berkata program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah memerlukan sokongan daripada ibu bapa dan juga pemimpin masyarakat.

Katanya sokongan daripada ibu bapa dan pemimpin masyarakat itu berupaya untuk memastikan keberkesanan terhadap program yang dilaksanakan.

"Kita perlu sedar bahawa program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah sebenarnya untuk meningkatkan pengetahuan golongan pelajar sendiri dan kita tidak boleh bersandarkan kepada pihak guru semata-mata," katanya dan menambah ibu bapa perlu meletakkan pendidikan sebagai agenda paling utama.

Menurutnya pendidikan merupakan kunci utama kepada sesebuah keluarga untuk mencapai kecemerlangan masa depan.

Hadir sama pada majlis itu termasuklah wakil Pegawai Pelajaran Sipitang Halim Edinen, guru besar SK Ulu Sipitang Ramli Awang Said dan pengerusi PIBG SK Ulu Sipitang Daim Bakar.

Sapawi yang juga wakil rakyat Sindumin berkata kerajaan sentiasa berusaha mempertingkatkan mutu pelajaran secara menyeluruh.

Katanya penyediaan prasarana pendidikan dilaksanakan secara menyeluruh termasuklah di kawasan luar bandar.

Bagaimanapun beliau berkata prasarana pendidikan itu tidak akan dapat membuahkan sebarang hasil jika ibu bapa tidak meletakkan pendidikan itu sebagai satu keutamaan.

"Gunakan kemudahan itu dengan sebaik-baiknya, sebagai ibu bapa kita bukan sahaja perlu melihat dan mengawasi perkembangan pendidikan anak-anak tetapi juga perlu memberi dorongan kepada mereka," katanya lagi.

Beliau juga meminta agar pemimpin masyarakat dan ibu bapa sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah ke arah mencapai usaha meningkatkan pencapaian pendidikan sekolah tersebut.
Share |