Friday, August 3, 2007

Pesta Gambus Sipitang


RASMI…Sapawi diperhatikan Presiden PMBS Datuk Yussof Bin Datuk SP Kassim (dua dari kanan) sedang memalu beduk tanda rasmi pesta Gambus Sipitang.

SIPITANG: Muzik merupakan salah satu alternatif ke arah usaha untuk mempertahankan kesenian dan kebudayaan suku kaum.

Pembantu Menteri Kewangan Datuk Sapawi Haji Ahmad berkata muzik dapat memainkan peranan untuk memastikan kesenian dan kebudayaan suku kaum bukan sahaja dipelihara tetapi dapat dikekalkan.

“Muzik tradisional juga boleh dijadikan sebagai insturmen perpaduan dan persefahaman kaum,” katanya ketika merasmikan Pesta Gambus peringkat Zon Sipitang di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu termasuklah Presiden Persatuan Masyarakat Berunai Sabah (PMBS) Datuk Yusoff Bin Datuk SP Kassim, Pengerusi PMBS Cawangan Sipitang Sapawie Tussin, Naib Pengerusi Penganjur Omar Ali Wahab dan Setiausaha PMBS Cawangan Sipitang Sarudin Omar. Lebih 2,000 orang hadir di majlis tersebut.

Sapawi yang juga wakil rakyat Sindumin memberitahu usaha untuk mempertahankan kesenian dan kebudayaan suku kaum perlu dilakukan kerana ada usaha pihak barat cuba mencemarkannya.

Katanya negara barat melakukan hal itu kerana mahu menjajah pemikiran generasi masa kini dan generasi masa depan.

“Penjajahan bukan sahaja dari aspek ekonomi tetapi dari sudut kebudayaan dan juga kesenian…penjajahan itu dilakukan bagi membolehkan mereka menguasai kita,” katanya lagi.

Sehubungan dengan itu Sapawi menyifatkan penganjuran seumpama itu wajar diberikan sokongan dan perlu diteruskan.

Katanya penganjuran seumpama itu membuka ruang ke arah mengeratkan silaturrahim.
Pada majlis itu Weston memenangi tiga dari empat kategori yang dipertandingkan.

Weston menjuarai kategori dewasa dan remaja acara gulintangan manakala Menumbok menduduki tempat kedua kategori dewasa dan Lubok tempat ketiga.

Sipitang pula menduduki tempat kedua dan Menumbok tempat ketiga untuk kategori remaja.

Weston turut memenangi kategori berkumpulan acara gambus mengetepikan Menumbok tempat kedua dan Sipitang tempat ketiga.

Bagaimanapun Sipitang berjaya memenangi kategori solo acara gambus dengan Lubok tempat kedua dan Menumbok tempat ketiga.


TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Yussof (tiga dari kanan) dan Omar Ali (kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Gulintangan kategori remaja dari PMBS Cawangan Weston.



JUARA…PMBS Cawangan Weston menjuarai pertandingan bagi kategori berkumpulan pertandingan Gambus.


SOKONGAN PADU…Sebahagian ahli majlis tertinggi dan Pimpinan Cawangan PMBS serta orang ramai yang hadir bagi memeriahkan suasana majlis tersebut



TARIKAN…Persembahan Gambus berkumpulan dari PMBS Cawangan Menumbuk yang diketuai oleh Pengiran Jaafar Pengiran Osman.
Share |