Thursday, July 24, 2008

Sekolah Agama Rakyat (SAR)

DIHARGAI…Sapawi menerima cenderakenangan daripada Pengerusi PIBG SAR Lubok Ali Ghafar di majlis tersebut.

TAHNIAH…Sapawi menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar cemerlang SAR Lubok di majlis tersebut.




WESTON (Beaufort): Kejayaan generasi muda yang bersandarkan kepada pendidikan akademik semata-mata tidak akan mampu menjanjikan kecemerlangan.



Sebaliknya keseimbangan dengan kejayaan akademik dengan agama berupaya membentuk generasi tersebut menjadi generasi yang lebih berjaya dan cemerlang, kata Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad.




“Ibu bapa tidak harus memandang sambil lewa pendidikan agama…untuk lebih berjaya dan cemerlang, ilmu agama itu turut memain peranan penting,” katanya kelmarin.



Berucap pada Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Sekolah Agama Rakyat (SAR) Awang Damit Sahbudin di Kampung Lubok di sini, Sapawi berkata ibu bapa yang turut mementingkan pendidikan agama selain akademik akan melihat anak-anak mereka lebih cemerlang dan berjaya.



Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pengerusi PIBG SAR Lubok Ali Ghafar dan GuruBesar SAR Lubok Masri Latip.



Katanya generasi yang berilmu agama juga akan berupaya menjadi generasi yang berupaya menghadapi cabaran dan berdaya saing.



Menurutnya keadaan itu tentu sahaja berbeza dengan generasi yang hanya mempunyai ilmu akademik dan tidak mempunyai ilmu agama.



“Sebagai ibu bapa kita harus sedar mengenai kepentingan ilmu agama dan kita seharusnya berusaha memastikan anak-anak kita turut memperolehi ilmu agama,” katanya lagi.



Beliau berkata generasi yang tidak memperolehi ilmu agama sudah tentu akan menjadi generasi yang lemah dan mudah menyerah kepada cabaran dan tidak berdaya saing.



Katanya berdasarkan itu, amat rugi jika ibu bapa mengambil keputusan untuk tidak menyekolahkan anak-anak mereka di sekolah agama.



Dalam pada itu Sapawi turut menyarankan agar ibu bapa khususnya umat Islam untuk bersatu dan bekerjasama bagi mempertingkatkan sekolah agama.



Menurutnya martabat sekolah agama perlu diperjuangkan “kerana ianya adalah pusat ilmu yang berguna.”
Share |