Sunday, August 10, 2008

Ahli Umno Tawar diri perlu Ikhlas

BINCANG…Sapawi diperhatikan oleh Surinam berbincang sesuatu dengan salah seorang ahli Umno di majlis tersebut


BEAUFORT: Anggota yang menawarkan diri bagi memegang jawatan perlu telus dan ikhlas dalam melaksanakan perjuangan parti.


Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata jawatan dalam parti tidak menjanjikan apa-apa dan tiada elaun ataupun imbuhan.


“Masa juga banyak terluang untuk parti dan inilah yang memerlukan anggota yang menawarkan diri perlu telus dan ikhlas,” katanya ketika merasmikan mesyuarat berkelompok cawangan Umno Zon Kebajang dan Beaufort Selatan dekat sini kelmarin.Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun, Ketua Zon Umno Beaufort Selatan Edin Ansim, Ketua Umno Zon Kebajang Abdullah Matrais, Setiausaha Umno Sipitang Awang Rakawi Awang Said dan Ketua Zon Pembangunan Parlimen Sipitang Beaufort Selatan Awang Yusof Kahar serta AJK Umno Sipitang Sapawi berkata ketelusan dan keikhlasan itu penting bagi memastikan perjuangan parti dapat dilaksanakan.


Katanya setiap jawatan dalam parti mempunyai peranan dan menjadi tanggungjawab kepada pemegang jawatan itu untuk melaksanakannya.


Bagaimanapun beliau mengingatkan agar setiap anggota yang menawarkan diri itu tidak bertelagah sesama sendiri.


Menurutnya sebarang pertandingan untuk jawatan yang ditandingi perlu dianggap sebagai pertandingan keluarga.


“Elak bertelagah sesama sendiri…jangan saling memburuk-burukkan sesama sendiri atau dendam mendendam.


“Amalan seumpama ini tidak harus digunapakai,” katanya dan menambah anggota yang menawarkan diri haruslah memahami tanggungjawab yang akan dipikul dan melaksanakannya dengan penuh amanah.


Sapawi memberitahu anggota cawangan perlulah bijak dan membuat penilaian sebelum membuat sebarang keputusan.


Katanya perbincangan sesama anggota cawangan penting sebelum mencalonkan mana-mana anggota yang menawarkan diri.


“Anggota cawangan harus bijak dan membuat penilaian terlebih dahulu. Kita mahu agar Umno terus mantap dan kukuh,” katanya lagi.


Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang berkata setiap anggota mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam menentukan Umno di negeri ini terus kukuh dan mantap.


Katanya Sabah sebagai kubu kuat Umno bukan sahaja perlu dikekalkan tetapi kekuatan serta kemantapan dan keutuhan itu dipertingkatkan.


“Keutuhan, kemantapan dan kekuatan itu akan membolehkan kestabilan politik di negeri ini dan kestabilan itulah juga akan memastikan ekonomi dan pembangunan di negeri ini terus berkembang,” katanya lagi.



SOKONGAN PADU…Sebahagian ahli Umno yang hadir di majlis perasmian tersebut
Share |