Sunday, August 10, 2008

Usah Sokong Guna Wang Dapat Pencalonan

DIHARGAI…Sapawi menerima cendera kenangan daripada Wakil Ketua Zon Umn Ulu Sipitang Daim Bakar.


SIPITANG: `Usah beri sokongan kepada anggota yang menggunakan wang untuk mendapatkan pencalonan.'Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata cawangan wajar menolak mana-mana anggota yang menawarkan diri untuk bertanding dalam pelbagai jawatan dalam parti, yang menawarkan wang untuk memperolehi sokongan dan pencalonan.


"Anggota yang bersikap sedemikian bukan sahaja tidak ikhlas dalam menggunapakai perjuangan Umno tetapi bertujuan untuk memusnahkan kemantapan serta kekuatan Umno," katanya di sini kelmarin Merasmikan mesyuarat cawangan Umno berkelompok bagi Zon Ulu Sipitang, Sapawi memberitahu langkah kepimpinan parti untuk melarang penggunaan wang bertujuan untuk memastikan Umno terus kukuh dan mantap.


Hadir sama di majlis tersebut termasuklah Ahli Jawatankuasa Umno Sipitang merangkap Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Sindumin Abdul Rahman Mohd Noh, Wakil Ketua Umno Zon Ulu Sipitang Daim Bakar dan AJK Wanita Umno Sipitang Rosnah Kula Katanya anggota pada peringkat cawangan haruslah menggunakan kebijaksanaan dan memikirkan soal jangka panjang keutuhan dan kemantapan Umno.


Beliau berkata memilih anggota yang menggunakan wang untuk memperolehi sokongan dan pencalonan boleh memberi kesan buruk kepada Umno.


"Kita mungkin tidak terasa pada ketika ini tetapi ia memberi kesan buruk untuk jangka masa yang panjang...anggota yang menggunakan wang sebenarnya tidak layak menjadi pemimpin.


"Mereka ini lebih mengutamakan kepentingan diri berbanding kepentingan parti...buatlah keputusan yang bijak dalam hal ini," katanya dan menambah keputusan yang dibuat oleh cawangan pada ketika ini amat penting dalam meneruskan keutuhan, kemantapan dan kekuatan Umno.


Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang berkata Umno mengamalkan sistem demokrasi yang terbaik dan tidak menghalang mana-mana anggota yang mahu bertanding pada pemilihan parti.


Katanya tiada sekatan dibuat tetapi Umno mahu anggota yang bertanding itu tetap dan mematuhi peraturan yang telah diputuskan.


"Kita tidak mahu mereka yang memimpin Umno atau memegang jawatan dalam parti muncul kerana menggunakan wang...jika merekalah yang dipilih, bermakna kita membawa Umno kepada kehancuran," katanya lagi.


Katanya, perjuangan Umno pada ketika ini adalah lebih mencabar berbanding dengan perjuangan terdahulu.


Menurutnya, jika dahulu perjuangan Umno lebih menumpukan kepada soal kemerdekaan tetapi kini perjuangan Umno lebih menumpukan kepada kemajuan dan pembangunan untuk rakyat.


Beliau memberitahu, perjuangan itu sudah tentu diketepikan oleh mereka yang dipilih kerana wang berbanding mereka yang dipilih kerana karisma masing-masing.


"Mereka yang dipilih dengan tidak menggunakan wang adalah anggota yang benar-benar ikhlas dalam menerima dan melaksanakan perjuangan parti," katanya lagi.


Sapawi juga meminta agar anggota Umno negeri ini pada semua peringkat terus berusaha memperkukuh dan mempermantapkan lagi Umno.


Katanya pergolakan yang berlaku di Semenanjung harus tidak difikirkan "sebaliknya kita harus menumpu kepada usaha memperkuatkan dan mempermantapkan lagi Umno Sabah."


Menurutnya Umno Sabah telah memperlihatkan prestasi yang baik pada pilihan raya lalu dan kecemerlangan itu hendaklah dipertingkatkan dan diteruskan.


"Kita mahu Umno Sabah akan menjadi role model kepada Umno di Semenanjung dan kita harus berusaha mempertingkatkan lagi kecemerlangan yang sedia ada," katanya lagi.

Share |