Friday, July 31, 2009

Gata Sipitang Ke-4 Sederhana Tapi Meriah

KUIH TRADISI...Kuih-kuih tradisi suku kaum yang terdapat di Sipitang

Sapawi menyampaikan cenderakenangan kepada ketua kontinjen pasukan gasing daripada brunei yang menyertai pertandingan tersebut.

BAKAT TERPENDAM...Sapawi bersama Kamarlin dan Ahmad sedang mencuba kebolehan bermain gasing di majlis tersebut.

WARISAN BUDAYA...Sapawi bersama Kamarlin dan Ahmad sedang mencuba permainan Lansaran yang di popularkan oleh suku kaum Murut.



BERNILAI TINGGI...Sapawi bersama Ahmad dan Kamarlin sedang memegang kayu Gaharu yang bernila tinggi harganya ketika berkunjung ke gerai SLDB.



SIPITANG: Sememangnya Sabah adalah role model terbaik dalam konsep Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan seperti yang dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri sebelum ini.
Dan hakikat itu nyata terbukti apabila Festival Gasing dan Tamu Besar (Gata) Sipitang dilancarkan kelmarin di sini oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad.
Gata Sipitang 2009 hasil penajaan utama kerajaan negeri dan juga Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) turut dihadiri oleh Wakil Rakyat Sindumin Ahmad Bujang, Wakil Rakyat Lumadan Kamarlin Ombi dan Pegawai Daerah Sipitang Abdul Wahap Abdul Hamid.
Gata Sipitang kali keempat itu bukan setakat dihadiri oleh ribuan orang yang terdiri daripada pelbagai suku kaum tetapi penganjuran festival itu sendiri merangkumi pelbagai suku kaum yang terdapat di Sipitang.
Dari kaum majoriti sehinggalah kepada yang minoriti, semua tampil untuk memastikan Gata yang dianjurkan dua kali setahun dan mula diperkenalkan pada 2003 itu dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah dirancang.
“Inilah keistimewaan yang kita miliki dan muafakat serta sepakat antara kaum inilah yang bukan sahaja harus kita pertahankan tetapi perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa,” kata Sapawi yang amat mengagumi persefahaman serta peraduan kaum yang diperlihatkan.
Hakikatnya cetusan penganjuran Gata itu sendiri adalah berasaskan kepada persefahaman dan perpaduan kaum yang diperlihatkan dan Sapawi sendiri merupakan pencetus idea kepada penganjuran program yang telah disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri.
Sapawi memberitahu tanpa adanya perpaduan dan persefahaman itu sudah tentu penganjuran Gata tidak akan berupaya mencapai tahap sehingga kini.
Malah, katanya hasrat menjadikan program itu sebagai acara gemilang buat
Sipitang juga tidak akan mampu tercapai.
“Tanpa kerjasama, mufakat dan sepakat itu, tentu sekali Gata yang dianjurkan bukan sahaja tidak meriah tetapi juga tidak akan mampu mengangkat Sipitang sebagai sebuah daerah yang kaya dengan pelancongan tradisi,” katanya.
Pelancaran Gata di gelanggang gasing turut memperlihatkan penyertaan pertama pasukan gasing daripada Singapura. Negara itu akan bersaing dengan pasukan dari Brunei, Limbang dan Lawas (Sarawak), Labuan dan Sipitang.
Penyertaan terbaru pastinya akan menghadiri persaingan yang menarik namun bagi Sapawi setiap penganjuran Gata, pasti ada sesuatu yang menarik.
“Apapun yang kita harapkan ialah sebut Gata ingatlah Sipitang,” katanya lagi.

Share |