Monday, July 27, 2009

Jom Ke GATA Sipitang!


BUNGA API...Malam akhir Gata Sipitang penuh dengan percikan bunga api untuk tatapan pengunjung setia.


LANSARAN...Tapak Lansaran yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung untuk mencuba lompatan yang terbaik.



ISTIMEWA...Persembahan khas Band Sipitang Sadaman membukitkan Sipitang mempunyai kepelbagaian muzik warisan budaya.


RAJA BUAH...Sapawi bersama-sama pengunjung sedang memperlihatkan buah-buahan yang terdapat di Sipitang.


KUIH TRADISI...Musa dan Sapawi sedang menjamu kuih tradisi suku kaum yang terdapat di Sipitang

FESTIVAL Gasing dan Tamu Besar (Gata) Sipitang pada kali ini mungkin menghadirkan sesuatu yang berbeza dengan penganjurannya yang sudah-sudah.
Namun seperti sebelumnya, Gata yang kali keempat dianjurkan sejak diperkenalkan pada 2003, tetap tidak berbeza kerana akan menyaksikan Sipitang sekali lagi akan menggamit ribuan orang.
Pastinya 31 Julai hingga 2 Ogos tidak akan sunyi dengan kunjungan dari merata tempat. Bukan sekadar dari daerah berdekatan di negeri ini tetapi juga dari Sarawak dan juga Brunei. Jika tiga penganjurannya berupaya menarik minat pelancong dari luar negara, kali ini, kehadiran Gata 2009 sememangnya dinantikan oleh para pelancong, yang mahu melihat kebudayaan tradisi yang menjadi asas kepada terlaksanannya program terebut.
Mengekalkan tema `Daie Sipitang Kuan Biskita’ yang bermaksud `Dari Sipitang Untuk Semua’ turut meletakkan gasing sebagai aset dalam memperkenalkan Sipitang sebagai daerah pelancongan kebudayaan. Hakikatnya Gata merupakan satu-satunya program yang memperkenalkan kebudayaan tradisi suku kaum setempat dan sekaligus memperlihatkan konsep Satu Malaysia.
Selain dalam bentuk sukan, muzik dan tarian kebudayaan, turut diperkenalkan ialah makanan tradisi seperti kuih muih dan kali ini Gata 2009 bakal menampilkan kuih muih tradisi suku kaum yang ada di daerah Sipitang.
“Membina dan memupuk persefahaman menerusi kerjasama antara kaum dan ini adalah faktor mengapa Gata dapat dilaksanakan sehingga kini,” kata pengerusi jawatankuasa induk pelaksana Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad.
Sejak tiga penganjuran sebelumnya, persefahaman dan kerjasama antara kaum di Sipitang sememangnya amat membanggakan dan Sapawi sendiri mengakui betapa persefahaman dan kerjasama itulah juga yang menguatkan lagi semangat serta menjadi pendorong kepada pelaksanaan Gata kali keempat.
“Matlamat kita ialah membuka ruang dan peluang kepada penduduk setempat di mana kita mahu memperkenalkan Sipitang sebagai daerah pelancongan berasaskan kebudayaan tradisi...apa yang membanggakan rakyat dari pelbagai suku kaum tampil bekerjasama menjayakan Gata,” katanya lagi.
Padang pekan Sipitang tetap menjadi venue kepada Gata 2009 dan selain pertandingan gasing (kebangsaan dan jemputan Borneo), turut diadakan ialah silat (jemputan Sabah dan Borneo), tarik tali (jemputan Sabah dan Borneo), sukan rakyat, karnival makanan tradisi, malam Gata, Bintang Gata dan tamu besar.
Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Haji Aman dijangka akan merasmikan Gata 2009 dan pada sambutan perasmian 2 Ogos itu nanti, persembahan tarian singa dan tarian kebudayaan suku kaum yang lain akan menyerikan acara perasmian tersebut.
Kini hanya tinggal beberapa hari sebelum Gata 2009 bermula secara rasminya, namun Sipitang telahpun mula diributkan dengan kunjungan-kunjungan dari orang ramai sejak dua minggu yang lalu. Pendek kata Sipitang ketika ini tidak lagi sunyi sebaliknya sentiasa menerima kunjungan termasuklah dari Brunei dan juga Sarawak.
Jadi untuk anda, luangkanlah masa, datanglah ke Sipitang dan saksikanlah kebudayaan tradisional menerusi Gata 2009. Pasti menarik dan pasti sukar untuk dilupakan.-Oleh DZUL MOHD KASSIM.

Share |