Friday, August 7, 2009

Peladang Keluar Dari Tradisi Lama : Sapawi


DIHARGAI...Sapawi diperhatikan oleh Ahmad menyampaikan sijil penambahan saham terbanyak PPK Sipitang kepada Alidin Mohamad di majlis tersebut



DIHARGAI...Sapawi diperhatikan oleh Ahmad menyampaikan sijil kepada ketua Unit PPK Long Pasia Andrew Laban di majlis tersebut.
SIPITANG: Anggota pertubuhan peladang kawasan (PKK) disaran agar keluar dari kepompong budaya kerja tradisi yang tidak berupaya membawa membangun dan memajukan mereka.


Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata kerajaan menaruh harapan agar anggota PPK bertindak dengan lebih proaktif dan lebih dinamik.
“Bertindak dengan budaya kerja yang baru, yang berupaya membawa kita maju dan membangun,” katanya pada majlis perasmian seminar kecemerlangan peladang dan mesyuarat agung tahunan PPK Sipitang di Sekolah Menengah Pengiran Omar II kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Wakil Rakyat Sindumin merangkap pengerusi PPK Sipitang Ahmad Bujang dan Pengurus Besar PPK Sipitang Ali Hassan
Sapawi berkata anggota PPK pada semua peringkat perlu lebih berusaha untuk melangkah jauh ke hadapan.
Katanya budaya tradisi lama yang tidak mampu bersaing harus tidak dijadikan lagi sebagai pilihan sebaliknya anggota PPK harus lebih berani bagi melakukan perubahan.
Menurutnya bagi mencapai kemajuan itu anggota PPK perlu menggunakan peluang yang diberikan.
“Kerajaan menerusi jabatan dan agensinya menyediakan banyak peluang dan ini perlulah dipergunakan dengan sebaik-baiknya,” katanya dan menambah kerajaan amat berharap agar PPK dapat memainkan peranan dalam menghasil dan mengeluarkan keperluan makanan.
Katanya ketika ini negara bergantung kepada negara luar untuk menampung keperluan makanan.
“Itulah sebabnya kerajaan amat berharap PPK dapat memainkan peranan agar kita tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada luar negara,” katanya lagi.

Di majlis itu juga Sapawi telah dilantik sebagai presiden kehormat PPK Sipitang.


Share |