Saturday, September 5, 2009

Lawat Mangsa Kebakaran


SIMPATI...Sapawi diringi Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Sipitang Zulkiflee Ahmad (dua dari kanan) meninjau Kediaman Osman (kanan), Anad (kiri) dan Lani (tengah) yang musnah dijilat api baru-baru ini.

SIPITANG: Nasib tiga penduduk Kampung Pelakat dekat sini yang menjadi mangsa kebakaran mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad.
Tiga penduduk berkenaan, Anad Abas, 58, Osman Ahmad, 43 dan Lani Abas,72 tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran bulan lalu.
Kebakaran itu berlaku ketika Ahli Parlimen Sipitang itu berada di Pulau Pinang bagi membantu kempen calon Barisan Nasional untuk pilihan raya kecil di Permatang Pasir. Sapawi mengetuai jentera Umno Sabah.
“Kejadian itu sudah tentu menyedihkan...lebih-lebih lagi ketika Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba,” kata Sapawi.
Bagaimanapun beliau melahirkan rasa syukur kerana kebakaran itu tidak meragut sebarang nyawa dan menambah agar keluarga tersebut bersabar dengan ujian tuhan.
Pada kunjungan tersebut, Sapawi yang juga Ketua Umno Sipitang turut meluluskan sumbangan peralatan rumah kepada mangsa kebakaran tersebut.

Share |