Thursday, May 20, 2010

Belia Berwawasan


TAHNIAH…Sapawi menyampaikan sijil dan peralatan membaiki telefon kepada salah seorang peserta krusus di majlis tersebut.



MESRA…Sapawi bersalaman dengan peserta krusus membaiki telefon


BEAUFORT: Generasi muda perlu kreatif dan inovatif dalam menghadapi cabaran masa depan.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata generasi muda perlu berhadapan dengan realiti kehidupan.

“Cabaran yang mendatang amat mencabar dan hakikat ini perlu dihadapi oleh generasi muda,” katanya pada kursus membaik pulih telefon bimbit program e-Kasih di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah Mahadir Bahar, Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan Ahmad Mumin, Ketua Pemuda Umno Sipitang Yamani Hafez Musa dan Pengurus Projek Hazrullizan Idris.

Menurutnya untuk kreatif dan inovatif, generasi muda perlu berusaha menimba ilmu dan juga kemahiran.

Beliau berkata generasi yang berilmu dan berkemahiran berupaya mencapai kecemerlangan dan seterusnya mampu menghadapi cabaran yang mendatang.

Katanya generasi yang memilih untuk enggan menimba ilmu dan kemahiran bakal berdepan dengan kemunduran dan akan ketinggalan.

“Untuk cemerlang, ilmu dan kemahiran itu amat penting,” katanya dan menambah peluang menimba ilmu dan mengasah kemahiran perlulah tidak dipersia-siakan.

Menurutnya peluang yang ada hendaklah dipergunakan dengan sebaik-baiknya.

Sambil memuji kursus tersebut, Sapawi berkata kerajaan sentiasa berusaha menyediakan pelbagai peluang untuk generasi bagi menimba ilmu dan juga kemahiran.

“Dengan ilmu dan kemahiran yang dimiliki, biarlah ia dipergunakan dan dimanfaatkan sebaik-baiknya,” katanya lagi.


Share |