Tuesday, May 25, 2010

Juara Rakyat Wanita dan Keluarga


DIHARGAI…Sapawi menerima cenderakenangan daripada Surinam di majlis tersebut


SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Surinam, Maimunah, Kamarlin dan Ahmad menyampaikan hamper kepada salah seorang warga emas di majlis tersebut.


BEAUFORT: Peranan dan sumbangan yang dilakukan oleh wanita dalam pembangunan negara sememangnya diakui.
Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata kerajaan amat berbangga dengan peranan dan sumbangan yang telah dilakukan oleh kaum wanita di negara ini.
"Dalam pelbagai aspek, wanita telah memperlihatkan kejayaan yang membanggakan," katanya pada program Juara Rakyat: Bulan Wanita dan Keluarga di Dewan Masyarakat Lumadan kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Timbalan Ketua Umno Sipitang Kamarlin Ombi, Ketua Penerangan Umno Sipitang Ahmad Bujang, Ketua Daerah Lumadan Junli Yusuf, Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun, Ketua Puteri Umno Sipitang Dayang Maimunah Sidek dan Ketua Zon Umno Lumadan Muanam Mujiarto.
Sapawi berkata dalam bidang pendidikan, sosial, ekonomi, politik dan keluarga, kaum wanita di negara ini telah memperlihatkan potensi yang wajar dibanggakan.
Katanya menghargai sumbangan serta peranan kaum wanita itulah kerajaan turut menubuhkan jabatan serta agensi bagi memberi ruang serta peluang kepada kaum itu untuk terus meningkatkan lagi peranan serta sumbangan yang sedia ada.
Bagaimanapun Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang berkata wanita negara ini tidak terlepas dengan pelbagai cabaran.
Katanya isu pembuangan bayi, penceraian dan sebagainya merupakan antara cabaran yang harus diberikan perhatian.
Menurutnya meskipun isu itu adalah tanggungjawab semua pihak termasuklah lelaki, peranan wanita dalam menangani perkara itu amat penting.
Sambil melahirkan keyakinan, Sapawi yang merupakan Ahli Parlimen Sipitang memberitahu wanita negara ini berupaya menghadapi cabaran tersebut.
"Dalam menghadapi cabaran itu, wanita memerlukan sokongan dan kerjasama...kekalkan persefahaman dan perpaduan yang sedia ada," katanya lagi.


Share |