Saturday, August 28, 2010

Berbuka Bersama Penduduk Kampung Mentulud, Beaufort


SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin dan Zulkhairi menyampaikan sumbangan tikar dan peralatan pembesar suara kepada pengerusi masjid Mentulud di majlis tersebut.



NIKMAT...Sapawi bersama penduduk kampung mengamikan doa ketika berbuka puasa,

IBADAH...Sapawi dan Kamarlin bersama penduduk setempat sejurus selesai menunaikan solat Isyak dan sunat tarawih di masjid Kampung Mentulud.


MINTULUD (Beaufort): “Jadikan Ramadan bagi mengerat persefahaman serta kerjasama dan elak daripada perpecahan berterusan.”

Demikian nasihat yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad pada majlis berbuka puasa di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan Kamarlin Ombi, Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pendalaman Selatan Zulkhairi Ismail, Ketua Daerah Lumadan Junli Yusuf, Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang Matbali Musah, Ketua Bahagian PBS Lumadan Roslan Muharam dan Iman Masjid Mentulud Osman Tudin.

Sapawi berkata perpecahan berterusan hanya mengakibatkan umat Islam semakin lemah dan akhirnya tidak berupaya menghadapi apa juga cabaran pada ketika ini.

“Kita akan menjadi umat yang mundur dan ketinggalan…amat menyedihkan lagi apabila kita menjadi umat yang mudah dipergunakan,” katanya.

Menurutnya umat Islam pada ketika ini berhadapan dengan cabaran yang getir kerana musuh Islam mempergunakan pelbagai cara dan sentiasa berusaha melemahkan umat Islam.

Antara usaha itu, katanya, termasuklah memastikan umat Islam saling bertelagah sesama sendiri dan terus berada dalam perpecahan.

Katanya jika itu berlaku bermakna umat Islam akhirnya menjadi umat yang lemah dan akhirnya mudah dipergunakan serta diperalatkan.

Menurutnya musuh Islam akan mempastikan Islam tidak mampu bangkit bagi mencapai kejayaan dan juga kecemerlangan.

Sapawi berkata musuh Islam mempergunakan apa juga ruang serta peluang yang terbuka untuk memusnahkan Islam.

“Inilah antara cabaran yang harus dihadapi oleh umat Islam dan cara menghadapinya memerlukan umat Islam sentiasa bersatu padu dan saling bekerjasama,” katanya.

Beliau memberitahu umat Islam harus mempelajari sejarah di mana Islam suatu ketika dahulu pernah mengecapi kecemerlangan.

Bagaimanapun, katanya, kecemerlangan itu telah musnah dan musuh Islam pada ketika ini berusaha memastikan Islam tidak akan bangkit dan kembali kepada kecemerlangan.

“Kita perlu bersatu, pertelagahan atau perselisihan faham sesama sendiri perlu dielak daripada berpanjangan,” katanya lagi.


Share |