Saturday, September 4, 2010

Berbuka Puasa Di Kampung Sungai Tiga, Sipitang


BANTUAN…Sapawi diperhatikan oleh Zulkhairi menyampaikan wang zakat kepada Agas Lawai,78,di majlis tersebut.



SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Zulkhairi menyampaikan peralatan pembesar suara dan tikar sumbangan pusat zakat sabah kepada pengerusi Surau Kampung Sungai Tiga Duahim Runa di majlis tersebut.



SIPITANG: `Usah yang dengar dan mudah percaya dengan desas-desus, sebaliknya berusahalah mendapatkan maklumat yang sebenar.’

Saranan itu diluahkan oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad pada majlis berbuka puasa di Kampung Sungai Tiga dekat sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pendalaman Selatan Zulkhairi Ismail, Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin Abdul Rahman Mohd Noh, Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang Matbali Musah dan Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad.

Sapawi berkata pemimpin masyarakat termasuklah Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, ketua kampung serta ketua cawangan parti komponen perlu mengelak daripada sikap mudah percaya.

“Sikap seumpama ini perlu dielak daripada menjadi budaya…setiap perkara perlu disiasat, dinilai ataupun dikaji terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya langkah yang paling baik ialah mendapatkan maklumat yang sebenar sebelum mempercayai apa juga yang disebarkan.

Katanya selepas memperolehi maklumat yang benar, maka barulah membuat keputusan untuk mempercayai apa yang dikhabarkan.

Bagaimanapun Sapawi berkata maklumat benar yang diperolehi itu hendaklah juga disebarkan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Bukan hanya kita tetapi rakyat yang diwakili juga perlu diberitahu mengenai perkara sebenar kerana kita tidak mahu rakyat keliru atau diperdaya,” katanya dan menambah ketika ini pelbagai isu telah disebarkan oleh pihak tertentu khususnya pihak yang mahu mengubah kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional.

Katanya cabaran yang dihadapi ketika ini tidak lagi menerusi secara lisan tetapi juga menerusi media elektronik termasuklah internet.

Beliau memberitahu pemimpin masyarakat juga tidak harus mengamalkan sikap `tunggu dan lihat.’

Menurutnya sikap membiarkan seseuatu isu hanya akan menyebabkan mereka payah bagi menanganinya.

“Kita perlu proaktif, peka terhadap apa juga isu…usah biarkan isu itu mempengaruhi rakyat kerana sikap tunggu dan lihat itu boleh membawa kesan negatif,” katanya lagi.


Share |