Monday, September 20, 2010

Najib Lancar Buliten Umno Sabah 'Juara Rakyat'


LANCAR…Najib dan Isteri Datin Seri Rosmah Mansor diperhatikan oleh Ketua Penerangan Umno Malaysia Datuk Ahmad Maslan dan Musa serta Sapawi tertarik membaca buliten Umno Sabahn Juara Rakyat sejurus pelancarannya baru-baru ini di Sandakan.






KOTA KINABALU: Informasi mengenai usaha yang dilakukan oleh Umno Sabah bakal dihebahkan kepada rakyat khususnya ahli parti pada semua peringkat menerusi penerbitan Bulliten Umno Sabah.

Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata informasi itu berguna kepada ahli bagi mengetahui perkara yang sebenar berkaitan sesuatu isu dan usaha yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh Umno Sabah.

“Kita mahu informasi sebenarnya didedahkan kepada ahli pada semua peringkat dan kemudiannya menyebarkan kepada rakyat perkara yang sebenar,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Bulliten Umno Sabah diterbitkan sempena Juara Rakyat peringkat negeri dan dilancarkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri di Sandakan minggu lalu.

Sapawi berkata ketika ini bukan hanya rakyat tetapi ahli juga terpengaruh dengan dakyah-dakyah disebarluaskan oleh pihak tertentu yang mahu menghancurkan Umno khususnya di negeri ini.

“Kita mahu mereka (ahli parti) tahu bahawa Umno Sabah yang diketuai oleh Datuk Seri Musa Aman sentiasa melaksanakan tanggungjawab yang diberikan…pelbagai usaha telah dilakukan.

“Biro Penerangan Umno Sabah akan berusaha menerbitkan bulliten itu untuk tempoh tiga bulan sekali,” katanya lagi.

Ketua Umno Bahagian Sipitang itu memberitahu maklumat mengenai aktiviti pada setiap bahagian akan diminta untuk dikemukakan kepada Biro Penerangan Umno Sabah.

Dalam hal ini, katanya, biro penerangan pada peringkat bahagian diharap dapat mengemukakan maklumat mengenai aktiviti itu termasuklah gambar-gambar mengenainya.

“Kita mahu ahli parti termasuklah rakyat sendiri mengetahui usaha yang dilakukan oleh Umno menerusi bahagian-bahagiannya di negeri ini,” katanya lagi.

Katanya ketua penerangan pada peringkat bahagian diharap dapat menggerakkan biro masing-masing dengan aktif.

Menurutnya terdapat sebilangan ahli parti malah rakyat sendiri tidak mengetahui apa yang telah dilakukan oleh Umno pada peringkat bahagian.

“Ketiadaan maklumat inilah yang menjadikan mereka mudah terpedaya dengan dakyah-dakyah yang disebarkan oleh pihak tertentu,” katanya.

Beliau memberitahu Umno Sabah yang diketuai oleh Musa sentiasa berusaha untuk membantu membela nasib dan kepentingan rakyat negeri ini tanpa mengirakan kaum.

“Pelbagai usaha telahpun kita lakukan untuk rakyat kerana rakyat adalah keutamaan kepada Umno dan ia selaras dengan matlamat sebenar perjuangan Umno,” katanya lagi.

Mengenai pelancaran Juara Rakyat dan rumah terbuka aidilfitri peringkat negeri di Sandakan, Sapawi berkata kehadiran lebih 50 ribu orang yang membanjiri padang bandaran Sandakan membuktikan kekuatan perpaduan dan persefahaman di kalangan rakyat negeri ini.

Katanya kehadiran itu juga memperlihatkan rakyat negeri ini amat mencintai keharmonian dan juga kemakmuran.

“Pada saya, Sabah mendahului negeri-negeri lain dalam gagasan 1Malaysia dan sememangnya tepat apabila Sabah dipilih sebagai role model untuk gagasan itu,” katanya lagi.

Share |