Saturday, November 20, 2010

Anugerah Pelajar Cemerlang SAN Betandok, Beaufort


TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Ali dan Safar menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada Said Muharam.



TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Ali dan Safar menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada Syafiqah Adrianan Yusuf.

BEAUFORT: Kerajaan tidak hanya memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan akademik semata-mata tetapi turut memfokuskan kepada pembangunan pendidikan agama.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata pembangunan pendidikan agama tetap diberi perhatian oleh kerajaan sebagai asas melahirkan generasi yang berhemah tinggi.

“Kerajaan sedar bahawa keseimbangan antara pendidikan akademik dan agama penting khususnya melahirkan generasi masa depan yang berilmu dan berhemah tinggi,” katanya pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah Agama Negeri Kampung Betandok dekat sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut Guru Besar SAN kampung Betandok Ali Talip, Pengerusi PIBG SAN Kampung Betandok Safar Sanani dan Pegawai perhubungan Ahli Parlimen Sipitang Matbali Musah.

Sapawi berkata dalam memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan agama, kerajaan tetap meletakkan asas perpaduan serta persefahaman sebagai perkara penting dan utama.

Katanya gagasan 1 Malaysia menjadi teras kepada pembangunan pendidikan agama dan juga pembangunan pendidikan akademik.

Bagaimanapun Sapawi menegaskan usaha yang dilakukan oleh kerajaan memerlukan sokongan daripada rakyat khususnya ibu bapa sendiri.

“Kecemerlangan dan kejayaan anak-anak bergantung sepenuhnya kepada sokongan serta dorongan ibu bapa dan tentunya pembangunan pendidikan agama tidak berkesan jika ibu bapa bersikap selamba,” katanya lagi.

Menurutnya sikap menyerahkan seratus peratus tugas member didikan dan bimbingan kepada pihak guru tidak akan membantu meningkatkan anak-anak.

Share |